Ezlynn bersyukur kerana perkenalan selama lebih enam tahun dengan jejaka berkenaan berakhir di jinjang pelamin.
"Semuanya berlaku secara tidak diduga. Ketika itu kami sama-sama pergi bercuti ke Phi Phi Island, Thailand hujung tahun lalu dan ketika berjalan di tepi pantai, Adam telah meluahkan perasaannya dengan panjang lebar sekali.
"Mulanya saya tidak menyangka apa-apa, tapi di akhir luahan perasaannya itu, Adam telah mengeluarkan sebentuk cincin jade hijau sebagai tanda bahawa dia benar-benar ingin mengambil saya sebagai isterinya," katanya dalam nada gembira.
Adam merupakan pengurus Ezlynn yang telah menjaga tugasnya sebagai penyanyi dan juga pelakon untuk tempoh masa lebih enam tahun.
Menurut Ezlynn, meskipun jari manisnya itu hanya disarungkan sebentuk cincin jade yang dibeli Adam di salah sebuah kedai di pulau berkenaan dalam waktu tergesa-gesa, tapi apa yang lebih utama ialah kejujuran Adam untuk memperisterikannya.
"Saya tergelak besar bila Adam beritahu yang dia mahu mengahwini saya. Tapi, gelak tawa saya itu diiringi air mata. Saya mengangguk tanda setuju dan berkata kepadanya mengapa dia mengambil masa terlalu lama.
"Memanglah kami sudah mengenali satu sama lain lebih enam tahun.Tapi hanya dua tahun kebelakangan ini kami rapat sebagai teman baik dan mula mengenali hati masing-masing," katanya.
Ezlynn dan Adam dijangka akan mendirikan rumah tangga pada tanggal 20 November ini (20.11.2011) di Sime Darby Convention Centre, manakala majlis resepsi besar-besaran hanya akan diadakan pada Januari tahun depan.
Hubungan mereka telah mendapat restu daripada kedua keluarga masing-masing, apatah lagi keluarga Ezlynn yang sudah mengenali Adam sejak sekian lama dan gembira apabila akhinya mereka bakal disatukan tidak lama lagi.
Sementara itu menurut Adam, dia berasa amat gembira apabila Ezlynn telah bersetuju untuk mempersuamikannya walaupun mereka berdua merupakan teman rapat sejak dia menjadi pengurus kepada penyanyi berkenaan.
Katanya dia tidak pernah menyalah gunakan peranannya sebagai pengurus, kepada penyanyi Hi Hi Bye Bye itu, bagaimanapun peluang berada bersama Ezlynn digunakan sebaik mungkin untuk mengenalinya dengan lebih rapat.
"Sepanjang mengenali Ezlynn sebagai selebriti, dia seorang yang fokus dan bersungguh-sungguh dalam kerjanya. Kerana kualiti itulah saya percaya Ezlynn juga mampu fokus untuk bergelar seorang isteri buat saya.
"Bukan saya tidak mahu dia menghebahkan cerita ini kepada orang ramai, tapi biarlah ianya menjadi rahsia kami berdua ," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan