Biarpun bertemu jodoh pada usia 32 tahun tetapi anak kacukan Melayu dan Inggeris ini tidak menganggapnya sebagai terlambat, malah bersyukur dijodohkan dengan Sha'arin yang 15 tahun lebih tua daripadanya.
Menurut Yasmin, dia tidak menganggap jarak usia antaranya dan bekas pemain dram kumpulan Blackrose itu sebagai penghalang cinta yang mereka bina di mana ia kemudiannya berakhir dengan ikatan suami isteri.
"Saya tidak anggap faktor jarak usia sebagai penghalang kerana saya selalu berfikiran positif, apatah lagi saya dapati Sha'arin seorang yang penyayang. Itu adalah kriteria seorang lelaki yang saya impikan untuk dijadikan suami.
"Selain itu, saya juga tertarik dengan suami saya kerana dia seorang yang gemarkan cabaran dan menitikberatkan soal kekeluargaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Hits sewaktu ditemui selepas majlis resepsi di Duchess Place yang diadakan pada sebelah malam, pada hari yang sama pasangan ini dinikahkan.
Pelakon filem Cicak-Man dan Duyung itu bukan setakat tidak mengambil kira soal perbezaan umur, tetapi dia turut bersedia menerima dua anak Sha'arin hasil perkahwinan suaminya itu dengan bekas isteri pertamanya dulu.
Jelas Yasmin, dia tiada masalah berkomunikasi dengan dua anak suaminya itu iaitu Narissa, 25, dan Armand, 23, biarpun jarak usia mereka tidak jauh beza antara satu sama lain, sekali gus menjadi ibu tiri kepada kedua-duanya.
"Sebelum saya dan Sha'arin bernikah lagi saya memang rapat dengan dua anaknya itu. Malah, hubungan saya dengan mereka macam kawan. Dalam hal ini, suami saya banyak menekankan soal perhubungan yang erat dalam keluarga kami.
"Nilai-nilai kekeluargaan itu menyebabkan saya tertarik untuk memilih Sha'arin sebagai suami. Saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh sekarang biarpun saya mula terfikir soal jodoh sejak usia 21 tahun lagi," ujarnya.
Pasangan itu diijabkabulkan oleh jurunikah, Ustaz Abdullah Hashim di mana hanya dengan sekali nafas Sha'arin sah bergelar suami Yasmin pada pukul 3.45 petang dengan mas kahwin RM80 dan wang hantaran RM32,000.
Kata Yasmin lagi, dia dan suami sepakat untuk mengadakan majlis resepsi pada hari yang sama selepas diijab kabulkan kerana itu secara tidak langsung, menepis pelbagai gosip kurang enak yang membabitkan percintaan mereka sebelum ini.
Jelas Yasmin, dia enggan melayan gosip-gosip liar yang melanda dirinya sewaktu menjalin hubungan cinta dengan Sha'arin yang pada ketika itu, telah hampir dua tahun berpisah dengan bekas isterinya, aktres Ida Nerina.
Perkahwinan Sha'arin dengan Ida Nerina adalah perkahwinan kali kedua manakala bersama Yasmin, kali ketiga.
"Saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya jodoh saya sampai juga. Walaupun ada terdengar cerita-cerita kurang elok tentang hubungan saya dengan Sha'arin, namun saya tidak mahu ambil endah. Biarlah apa orang hendak kata.
"Kalau dulu orang bertanya saya, bilakah mahu berkahwin? Sekarang ini, apabila sudah berkahwin orang bertanya tidak teringin ke mahu dapat anak dalam masa terdekat ini? Apa yang boleh saya cakap, berilah ruang kepada saya yang baru kahwin ini.
"Bukan setakat belum memikirkan soal itu, malah saya dan Sha'arin pun tidak tahu hendak berbulan madu ke mana.
"Saya tidak mahu terburu-buru dan biarlah semua itu berjalan perlahan-lahan sambil kami menikmati perkahwinan ini," jelasnya.
Selain berlakon filem, Yasmin juga sebelum ini pernah mengacarakan rancangan televisyen seperti Kelab Disney, Ria Sentral, Muzik @ Ria, Pakar Kejelitaan, Sensasi Batik, Pop Sensasi, Dua Dunia dan Layar Lensa.
0 ulasan:
Catat Ulasan