Bagaimanapun, terdapat perubahan apabila pengacara asal program itu Aznil Nawawi dan Sharifah Shahira tidak lagi bersama untuk memeriahkan Serasi Bersama musim kedua kerana tempat mereka diganti dengan gandingan, Amy Mastura dan Adlin Aman Ramli.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, menolak timbulnya sebarang isu menyebabkan posisi mereka digantikan dalam program sebanyak 12 episod itu.
“Aznil dan Shira memberi komitmen yang bagus sehingga berjaya menarik penonton untuk menonton program ini pada musim pertama. Bagi saya perubahan dilakukan sesuatu yang normal.
“Sebelum ini, banyak program kami mengalami perubahan pengacara misalnya Akademi Fantasia (AF). Perubahan dilakukan untuk memberi nafas segar dalam program itu.
“Sebelum ini kita tidak pernah melihat gandingan Amy Mastura dan Adlin, jadi kami di Astro Ria, menjadi antara yang terawal menggandingkan mereka.
“Padanan mereka memang sesuai kerana walaupun di awal rakaman keserasian antara mereka jelas kelihatan,” tuturnya yang menjelaskan masih mengekalkan konsep program seperti musim pertama.
Setiap pasangan akan mewakili satu badan kebajikan dan wang kemenangan mereka akan disalurkan kepada badan kebajikan yang diwakili.
Amy ketika disoal mengapa dia menerima tawaran untuk bergandingan dengan Adlin Aman Ramli dalam program ini sedangkan karakter mereka jauh berbeza memberitahu, dia juga antara peminat program tersebut.
“Sebenarnya sebelum ini, saya pernah menonton program ini pada musim pertama dan pada saya ia memang sebuah program yang menarik kerana peminat dapat mengenali artis pujaan mereka dengan lebih mendalam lagi.
“Selain itu, ia sebuah program kekeluargaan, jadi program ini sangat sesuai untuk saya yang telah berkeluarga,” ucapnya yang mendapat tawaran sebelum bulan Ramadan lagi.
Tutur Amy, dia sebenarnya gementar apabila mengetahui pengacara gandingannya adalah Adlin memandangkan karakter Adlin yang agak tegas dan lantang ketika dia muncul dalam program yang lain.
“Karakter luarannya nampak garang dan serius tapi apabila bekerjasama dengannya, Adlin seorang yang baik dan sangat menghormati orang lain. Memang tiada masalah bekerjasama dengannya.
“Saya berharap agar penonton dapat menerima dengan cara saya kerana kalau hendak dibandingkan dengan Shira memanglah saya masih banyak perlu belajar,” katanya.
Adlin menerima tawaran untuk mengendalikan program Serasi Bersama dengan harapan agar dia dilihat menjadi seorang pengacara yang versatil.
“Saya pernah mengendalikan program Jangan Tidur Lagi yang menampilkan konsep berbeza dan tawaran menjadi hos Serasi Bersama ini adalah kesempatan yang terbaik buat saya menimba pengalaman menjadi seorang pengacara versatil sekali gus memantapkan kedudukan dalam bidang pengacaraan.
“Saya sudah berkahwin dan program ini sangat dekat dengan saya, malah saya sukakan konsep kekeluargaan yang diketengahkan.
“Jika tidak silap saya, ini adalah satu-satunya program membabitkan artis dan pasangan mereka sama ada penyanyi, pelakon dan mereka yang bekerja di lain bidang. Objektif utamanya berhibur sambil melakukan kebajikan antara perkara paling menarik minat saya.
“Selain itu, tentunya saya amat berbesar hati digandingkan bersama Amy Mastura. Saya peminat Amy dan sukakan karakternya yang ceria, setakat ini kami cukup serasi bersama ketika mengacara program ini,” kata Adlin lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan