Begitu hebat dugaan wanita bernama Tasha ini. Baru kehilangan cahaya mata sulungnya, Puteri Rania yang ketika itu berusia dua bulan, kira-kira tiga tahun yang lalu, Tasha yang hanya bergelar suri rumah tangga diduga sekali lagi apabila kehilangan insan yang amat dekat dan akrab dengannya serta menjadi tempatnya bergantung. Terlalu singkat kemanisan yang dipinjamkan-Nya. Mereka hanya sempat berkongsi hidup selama lima tahun, kini tanggungjawab membesarkan dua puteri mereka Putri Nursafiyaa, 2 tahun dan Putri Nursumayya, 11 bulan, tergalas di bahu Tasha seorang.
Seperti Allahyarham Din Beramboi yang baru saja kembali aktif mewarnai dunia seni, begitu juga Achik. Penyanyi utama kumpulan Spin yang satu ketika dulu cukup popular bersama rakan duetnya, Siti Nordiana, baru saja hendak kembali mewarnai dunia seni. Mereka kini sedang ligat mempromosikan single terbaru berjudul Cari Ketenangan sentuhan Ajai, namun ternyata Achik yang terlebih dulu menemui ketenangan abadi.
Berita pemergian Achik itu cukup mengejutkan kerana wajahnya baru saja muncul di program Gah 1 yang muncul secara langsung di TV1. Namun beberapa jam selepas itu peminat penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu dikejutkan dengan berita kematiannya. Selain di RTM, pasangan itu juga sudah pun menjalani rakaman program Jangan Tidur Lagi, namun belum sempat program itu ke udara pada Rabu ini, Achik sudah pun tiada.
Nampaknya, hasrat Achik dan Nana untuk mengembalikan kegemilangan sebagai pasangan duet yang pernah mereka kecapi pada 2003 sewaktu populariti lagu Paling Comel daripada album Istimewa Untukmu itu tidak kesampaian. Selain lagu duet, single terbaru kumpulannya berjudul Engkau Yang Ku Cinta juga kini sedang ligat diputarkan di stesen radio dan mendapat maklum balas positif daripada peminat.
Achik yang menyertai kumpulan Spin, yang ditubuhkan pada 1998 di bawah syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) juga mempunyai sebuah lagi album duet juga bersama Nana iaitu Benang Emas. Album duet kedua mereka itu diterbitkan sekitar 2005. Gandingan dua penyanyi ini ternyata berjaya sehingga mencetuskan fenomena, malah album duet mereka ketika itu berjaya terjual sehingga lebih 100,000 unit. Bersama-sama kumpulan Spin pula, Achik memiliki empat album iaitu Roda- Roda Rindu, Litar Asmara, Spin 3 - Demi dan Keranamu. Album kumpulan itu juga berjaya terjual sehingga 75,000 unit.
Berikutan popularitinya ketika itu, Achik pernah diundang berlakon filem. Percubaannya dalam bidang lakonan ternyata tidak sia-sia apabila bakatnya mendapat pengiktirafan sehingga menerima anugerah Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-17 menerusi filem Diari Romeo. Selepas itu, dia banyak membintangi telemovie antaranya Demi, Prahara, Wad 04 dan Sifu. Bagi Siti Nordiana, kehilangan Achik adalah satu kehilangan yang cukup besar. Berita kematian penyanyi itu amat-amat mengejutnya, baru saja setengah jam selepas dia menghantar penyanyi itu ke keretanya sebaik selesai menjayakan program Gah 1, tiba-tiba dia menerima panggilan berita kematian bukan saja teman duet, tetapi rakan akrabnya.
“Mula-mula saya tidak percaya dengan berita kematian Achik. Saya terus menghubungi kakak arwah untuk mendapatkan kepastian, sebaik mendengar suaranya yang menangis teresak-esak, saya tahu berita yang saya terima bukan main-main. “Sebagai orang terakhir yang menemuinya, saya sangat terkejut dengan berita itu. Saya tidak melihat sebarang perubahan pada arwah, cuma saya perasan sewaktu kami menjayakan program di TV1 itu, arwah lebih banyak bercakap. Selalunya arwah tak seperti itu, lazimnya dia lebih suka melepak di luar menghisap rokok.
“Pemergian Achik memang satu kehilangan yang amat besar kepada saya, hingga mengganggu emosi saya seharian semalam. Selepas Cari Ketenangan, kami mempunyai rancangan untuk merakamkan sebuah lagi lagu yang dihasilkan oleh Aidit Alfian, nampaknya rancangan kami tidak kesampaian. Nana tak tahulah selepas ini macam mana, sebab selama ini jika menjayakan persembahan kami sering berdua, tetapi selepas ini Nana akan bersendirian,” katanya. Bukan saja akrab dengannya, Achik juga rapat dengan keluarga Nana. Biarpun mereka jarang berhubung, sesekali Achik ada mengunjungi keluarga Nana di Sendayan kerana penyanyi itu berkawan rapat dengan abang Nana serta bapanya.
Sementara itu, Pengurus Promosi FMC, Fatulrahim Salim, berkata dia juga terkejut dengan berita pemergian Achik. Beberapa jam sebelum penyanyi itu terbunuh, dia turut berada di RTM menemani kedua-dua penyanyinya berkenaan. Justeru, apabila menerima panggilan telefon daripada seorang teman mengenai berita mengenai Achik, dia sangat terkejut. Menurut Fatulrahim lagi, sebaik mendapat berita berkenaan, dia segera menghubungi telefon bimbit penyanyi itu namun tidak berjawab. Dia kemudiannya menghubungi isteri Achik, dan dia mengesahkan berita itu.
“Saya sangat terperanjat apabila mendapat berita Achik meninggal dunia kerana beberapa jam sebelum itu, saya ada bersama dengannya. Sewaktu menjayakan program Gah 1, saya nampak sikap Achik berbeza dengan sikap sebenarnya. Dia kelihatan seronok dan boleh bergurau dengan tetamu yang lain seperti Zehra Zambry sedangkan sebelum ini, dia seorang yang agak serius. Tak sangka pula itu petanda yang dia akan pergi. “Walaupun Achik tidak ada, usaha untuk mempromosikan single terbarunya akan tetap diteruskan. Ini kerana sejak Spin muncul dengan single baru mereka, peminat ramai yang mula bertanya dan mahu mendapatkan kembali album Spin,” katanya.
19 April 2010 : Berita Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan