Kelahiran album Diagnostik memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga kepadanya selepas terus diberikan kepercayaan oleh EMI dan Warner Music Malaysia untuk mencipta kejayaan berganda melalui lagu Tiga Malam Tanpa Bintang dan Bukti yang sehingga kini menjadi siulan pecinta muzik tanah air.
Mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan, kelahiran Diagnostik membuktikan bahawa Fiq masih mempunyai pengikut setia dalam industri muzik tanah air.
Konsep yang diketengahkan melalui album ini masih tidak jauh berbeza dari album sebelum ini, ditambah dengan elemen-elemen baru yang menunjukkan kematangannya selepas menjuarai program realiti Mentor musim kedua beberapa tahun lalu.
Mempertaruhkan Manifestasi Cinta sebagai single pertamanya, lagu berkonsepkan gothic rock digabungkan dengan elemen Asia Barat memperlihatkan kelainan dalam jenis repertoire yang diperjuangkan Fiq sebelum ini.
Gandingan bersama Mirwana, sebuah kumpulan nasyid tanah air memberikan satu cita rasa yang berbeza berbanding lagu-lagunya sebelum ini.
Manifestasi Cinta mengisahkan tentang dunia yang penuh dengan ranjau, onak dan duri, dengan adanya cinta, dalam erti kata lain cinta kepada Tuhan, cinta sesama manusia, kita akan dapat mengatasi, melalui liku-liku yang mendatang.
Melihat kepada repertoire yang disampaikan melalui album ini, menunjukkan kesungguhan Fiq dalam membuktikan genre rock masih berbisa dan mampu untuk terus memberikan impak yang besar dalam kerjayanya.
Album Diagnostik itu mendapat sentuhan daripada komposer-komposer terkenal seperti Kuncidemak menerusi lagu Manifestasi Cinta, Amir (Tragis dan Mas Jongkong, yang mengajak pendengar mendiagnosa diri, Acap (Mencari Arah) dan juga buat julung kalinya bekerjasama dengan BeatTheSystem dalam lagu Transisi yang berteraskan genre rap-rock berjaya mencorakkan album ini dengan keunikan muzik masing-masing.
Proses pemilihan lagu, rakaman lagu, rakaman video klip dan kulit album dibuat semenjak Oktober 2009 lagi bagi memastikan hasil yang memuaskan untuk album itu.
Dengan kelahiran album ini diharapkan menjadi penawar rindu kepada setiap pengikutnya yang telah sekian lama menantikan kemunculan semula Fiq dalam industri muzik tanah air.
0 ulasan:
Catat Ulasan