Erin kini sudah terjebak ke dunia tarian belly. Menjadi penari gelek yang mempamerkan aksi dan pakaian dengan cara menggairahkan. Apakah ini benar? Pertemuan dengan Erin yang juga merupakan bekas ahli kumpulan remaja popular sekitar tahun 1990-an, Res'2 baru-baru ini menguraikan segala-galanya. Ada nada ikhlas yang diutarakan pada setiap bait katanya.


Tidak mengelak atau menafikan, Erin memilih berterus-terang. Katanya, setelah Res'2 tidak lagi diminati, apatah lagi semenjak bergelar janda, dia terpaksa melakukan banyak agenda untuk mendapatkan sesuap nasi meneruskan kehidupan.

''Memang benar, Erin kini bekerja sebagai penari gelek. Erin dibayar berdasarkan persembahan yang dibuat. Tidak kiralah sama ada di kelab malam atau hotel. Hanya pekerjaan itu sahaja yang diminati dan mampu dilakukan," terangnya dalam nada jujur.

Pun begitu, ada luka yang terpaksa dihadap apabila kerjaya barunya itu dipertikaikan. Erin mengakui dia cukup tersentak apabila dicemuh dan dikatakan telah menyumbatkan rezeki 'haram' ke dalam perut anak kandungnya sendiri. Erin dikategorikan sebagai bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila menjadikan kerjaya berkenaan sebagai mata pencarian.

"Apalah dosa yang Erin lakukan sehingga tergamak orang berkata sedemikian? Salah ke bekerja sebagai penari belly atau penari gelek. Bukankah ia adalah salah satu cabang profesion dalam dunia hiburan?

"Erin bekerja dan pendapatan itu datang dari keringat sendiri, bukan menagih simpati orang lain. Jauh sekali ditaja oleh seseorang. Tidak bolehlah orang seni macam Erin ini menjadi penari? Kenapa perlu ada sikap memandang sebelah mata terhadap pekerjaan Erin itu?'' soal Erin.

Hatinya bagai dicucuk sembilu tatkala mendengar kejian orang tentang dirinya, tambahan apabila membabitkan soal halal haram terhadap sumber pendapatan yang diperolehinya.

Wanita berusia 35 tahun ini mengakui bahawa pendapatan dari menari digunakan untuk perbelanjaan Nur Tiera Asrina, 9. Satu-satunya permata hati yang disayangi.

"Orang di luar sana tidak tahu perit yang saya alami bila tak ada duit. Kita duduk di bandar besar, Kuala Lumpur. Hanya Tuhan bagaimana susahnya untuk membesarkan anak dalam keadaan sekarang.

"Erin juga pernah melalui pengalaman pahit dihina apabila kocek kosong. Kawan-kawan yang selama ini bersama tiba-tiba hilang ke mana.Ia, mereka mungkin bimbang kalau kita hendak meminjam wang. Jadi, lebih baik saya bekerja sendiri, tak payah harapkan duit orang lain," katanya lagi.

Baginya, tidak salah sekiranya dia menjual bakat yang ada. Erin tidak pernah membuat sesuatu di luar perhitungan fikiran orang normal.

Rasa minat yang mendalam dalam tarian membuka mindanya untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa dalam setiap persembahan. Erin juga bukan jenis yang membuat kerja secara semberono. Semuanya diteliti bermula dari gerak tari, cara mekap, pakaian dan hal-hal berkaitan.

''Pakaian seksi yang melatari tubuh saya itu sekadar fesyen sahaja. Sebagai penari gelek, kita tidak berpeluang untuk menentukan jenis pakaian yang dikehendaki. Semuanya ditentukan oleh pelanggan.

''Ia juga berkait rapat dengan konsep tarian itu yang seksi. Mendedahkan bahagian dada dan pinggul. Erin tidak mempunyai pilihan. Bukannya Erin tidak pernah mencuba untuk bekerja pejabat tetapi semuanya kecundang. Erin gagal laksanakan dengan baik kerana minat Erin kepada bidang seni sahaja,'' terang wanita ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga tidak kisah dengan tanggapan buruk masyarakat. Ini kerana dia sendiri tidak mengharapkan kebaikan dan ihsan daripada orang lain. Apa yang dilakukannya kini hanya untuk keluarga terutama buat Nur Tiera Asrina.

Anak yang memahamiSaat diajukan persoalan tentang anaknya, bibir Erin tidak lekang senyuman. Satu kata azimat yang menjadi pegangannya dari dahulu sehingga ke hari ini ialah 'kerana Tiera aku bangkit dan tidak akan mensia-siakan darah daging sendiri'.

Erin mengakui Nur Tiera Asrina turut mendapat tempias pandangan jelik orang terhadap ibunya, tetapi dek kerana sudah biasa, anak kecil itu cukup memahami kedudukan ibunya.

''Dulu, ibu saya pun pernah dikata ibu ayam. Saya sendiri pernah dituduh menjadi pelacur, anjing kurap dan macam-macam lagi kata kesat yang mereka lemparkan kepada anak saya. Cerita mengeji ini tidak akan habis sekiranya masyarakat tidak berhenti memandang serong terhadap apa yang Erin lakukan. Tak kanlah semua sumber pendapatan daripada penari gelek itu haram?

''Erin sedar yang diri ini tidak sempurna. Banyak kesilapan dan kekhilafan ketika berdarah muda. Menghabiskan masa di kelab malam, berparti dan bermacam-macam lagi pernah menjadi tabiat satu ketika dahulu. Namun percayalah, manusia berubah. Berilah peluang kepada anak Erin untuk membesar macam anak-anak lain,'' pinta wanita ini.

Demi anak, Erin berubah. Sebab itu, Erin tidak mahu melepaskan sesaat pun masa untuk tugasan mendidik dan mengasuh anak. Meskipun mengetahui pendidikan tidak setinggi mana tetapi dia percaya cara berdampingan dapat membantu perkembangan psikologi anaknya.

Erin pernah membawa anaknya ke lokasi dia menari. Itu pun hanya sekali. Niatnya hanya satu. Mahu memberi pendedahan kepada Nur Tiera Asrina berhubung cara pekerjaannya. Dia tidak mahu anak perempuannya itu berfikir yang bukan-bukan tentang pekerjaan uminya itu.

Selain itu, Erin juga seorang ibu yang amat menitikberatkan tentang pelajaran anak. Tidak kira apa pun minat Nur Tiera Asrina, dia perlu mendahulukan pendidikan yang menjamin seluruh kehidupan keluarga pada masa depan.

Pun tidak selamanya berada di dunia gelek, Ering kini merancang untuk membuka perniagaan yang masih berhubung kait dengan dunia hiburan.

Pengalaman bekerja dengan kakaknya, Zuraini Khalil selama sembilan tahun memberi banyak pendedahan kepadanya untuk mempelajari semua hal berkaitan bidang berkenaan.

Itu termasuk aktiviti, mencipta gerak geri tarian dan menyediakan tenaga pakar yang diperlukan oleh mana-mana pihak.

Ini adalah sebagai salah satu cara untuk membina masa depan yang lebih baik.

"Kalau rancangan ini menjadi kenyataan, biarlah ia dilakukan sedikit demi sedikit. Erin juga mahu sukses macam orang lain,'' bicara Erin sambil tersenyum penuh pengharapan.

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top