Ramai jugalah pembaca yang memberi reaksi apabila pengetua Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Norman Abdul Halim bangkit membela pelajarnya. Ada yang memuji kerana kalau pengetua sendiri tak berani bela pelajar sendiri, apa nak jadi? Jadi tindakan dan reaksi Norman sebagai seorang pengetua itu memang sewajarnyalah. Macam reaksi ibu bapa juga, kalau asyik perlekeh anak sendiri, lama kelamaan semangat dan yakin diri anak-anak boleh luntur.

Tetapi dalam pada yang memuji, ramai jugalah yang macam naik menyampah. Kata mereka, hendak bela boleh tetapi biarlah berpada-pada. Paling mereka tak setuju bab bandingkan pelajar sekarang dengan pelajar AF yang terdahulu. Nanti apa pula kata pengetua yang lepas seperti Ramli MS, M Nasir, Ramli Sarip, Roslan Aziz dan Datin Seri Tiara Jacquelina?
Lagi pun kata seorang pembaca yang hanya mahu dikenali dengan nama Cengkerang, bukan tak ada pelajar senior AF yang benar-benar cemerlang. Macam Aizat itu, siapa yang boleh menyangkal bakat dan populariti dirinya.
“Walaupun tak pegang trofi AF tetapi dah pegang trofi AJL dan baru-baru ini pula trofi ABP! Macam Mawi tu pun Kak Cham, bukan tak pernah dia bikin fenomena. Tak ingatkah gelombang Tsumawi? Begitu juga dengan Zahid. Ha... lagi satu Adam dan juga Stacy. Gempak tu terutama apabila mereka bergabung terus meletup!

“Yang paling tak tahan Kak Cham apabila Norman kata, sudah ada pelajar yang dapat lamaran syarikat rakaman walaupun tersingkir. Kalau dah syarikat rakaman tu dia yang punya, memang betullah. Saya minat Norman tu Kak. Dari zaman KRUmania sehinggalah sekarang. Jadi janganlah keluarkan kenyataan yang nampak macam kurang cerdik,” kata Cengkerang lagi.

Tiba-tiba teman rasa nak tergelak, bukan kerana pendapatnya itu tetapi kerana terfikir macam mana boleh timbul nama Cengkerang. “Ala... cerita dulu Kak.. masa kecil... asyik suka kutip Cengkerang. Nak beli aksesori tak ada duit... jadi cari cengkerang. Boleh juga jadi rantai, letak kat selipar, jadi kasut tinggi, bunyi pun best bila jalan Kak,” cerita Cengkerang dengan panjang lebar.

Cengkerang pun cengkeranglah. Yang penting, sikap kreatif itu acap kali boleh menjana pendapatan. Dan bercakap mengenai kreatif dan jana duit ini, tak siapa boleh mempertikaikan kredibiliti Norman. Tengok saja macam mana dia membina empayar bisnesnya. Teman pun memang tabik spring dengan si Norman ni dan apabila dia diumumkan sebagai pengetua AF8, bukan main tinggi lagi harapan teman untuk melihat program ini ‘meletup’ kembali. Iyalah, sudah beberapa musim AF macam suam-suam kuku saja.
Teman hendak ulas panjang lebar mengenai AF musim ini pun macam rasa tak kena sangat sebab teman tak mengikutinya. Bukan tak sudi tetapi tak sempat langsung. Ketika AF8 muncul dulu, teman sibuk dengan ABP teman. Tengok pun gitu-gitu saja kerana tidak ada seorang pelajar pun yang mencuri perhatian teman.

Cuma minggu lalu, buka TV tengok kelibat Diari AF. Ada seorang peserta, Shahir namanya yang sedang menangis terisak-isak ketika berlatih menyanyi. Yang terdetik di hati teman, budak Shahir ini dalam menangis pun boleh nampak kacak. Sama ada undian untuk dirinya akan terus mencanak naik atau jatuh merudum gara-gara menangis itu teman tak tahulah.

Tetapi nasib program realiti begitulah. Teman tak salahkan program sebegini dan tak pernah memperlekehkan usaha stesen TV untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat. Cuma barangkali apa yang perlu difikirkan kembali adalah cara untuk membuatkan program itu menarik dan masih relevan dalam dunia penyiaran.

Entah di mana silapnya teman pun tak tahulah. Nasib Normanlah kerana musim ini memang tak jadi bualan sangat pun. Tetapi jadi bualan saja pun buat apa kalau kualiti pelajar entah apa-apa. Teman doakan yang terbaik buat Norman. Lagi pun bukan calang-calang orang yang boleh duduk di kerusi panas ini. Jadi pengetua AF macam itulah. Macam-macam orang kata - daripada pengetua sehinggalah ke staf residen - semuanya kena kritik.

Tanya Ramli MS, Ramli Sarip, M Nasir, Roslan atau Tiara sekalipun. Macam Tiara dulu, bukan dia tak mengadu dengan teman, betapa dia berasa hati dengan teguran dan kritikan, baik daripada media dan peminat dunia hiburan. Tetapi seperti yang teman nasihatkan kepadanya, begitu jugalah teman nasihatkan kepada Norman, “Jangan melatah!” Tetapi teman kenal sangat Norman, dia sebenarnya tahu apa yang dia buat dan sedikit pun teman tak pertikaikan. Cuma berilah Norman peluang. Dia juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Ada kala hatinya terusik, ada kala hatinya dijentik. Jumpa lagi! - hanizam@bharian.com.my

Oleh Hanizam Abdullah

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top