DIA antara pelajar yang kerap dikritik juri dan kebanyakan komen menyentuh masalah sama yang dikesan dalam hampir setiap persembahannya apabila nyanyian serta ekspresi wajah Farina dikatakan kurang emosi.

Namun, menerusi konsert keenam Akademi Fantasia ke-8 (AF8) yang berlangsung di Dewan Seri Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu, wanita berlesung pipit ini bukan saja tampil mengejutkan bahkan memukau barisan juri serta penonton.

Salah satu aksinya yang tidak mungkin dilupakan peminat setia program ini tentunya kenakalan Farina menggoda Adlin sambil duduk di meja pengkritik.

Keberanian dan kreativiti ibu tunggal itu mendapat pujian semua pengkritik terdiri daripada Adlin Aman Ramli dan Aznil Nawawi selaku pengkritik tetap dan Syafinaz Selamat sebagai pengkritik undangan.


Adlin yang memberi lampu hijau kepada Farina mengakui, persembahan peserta berasal dari Sarawak itu sangat menarik dan penuh karakter. Syafinaz pula mengatakan, pergerakan tubuh Farina bukan saja seksi, malah suaranya juga ketika menyanyi. Bagaimanapun, dia berpendapat Farina mampu melontarkan vokal yang lebih daripada itu. Sementara Aznil yang terpukau dengan persembahan Farina, menyeru kepada penonton supaya terus mengekalkan peserta itu meskipun minggu lalu Farina hampir-hampir meninggalkan akademi.


Farina yang membuat persembahan terakhir malam itu menerusi lagu Mainan Jiwa, memperoleh dua lampu hijau. Nampaknya Farina bakal memberi amaran kepada tiga peserta kegemaran, Adira, Maulana dan Ain.


Mengimbas perjalanan konsert itu, persembahan lapan pelajar dimulakan dengan lagu bonus, Pak Balik Pak kemudian pentas diambil alih Ain yang menyampaikan lagu Takkan Melupakanmu.


Rata-rata pengkritik memberi komen positif berhubung persembahan peserta cantik ini. Bagaimanapun, Aznil berharap untuk melihat sesuatu yang 'wow' menerusi persembahan Ain seterusnya.


Iwan yang menyusul selepas persembahan Ain dengan lagu Aku Cinta Kau Dan Dia (Dewa) disifatkan Adlin 'sudah tiada lagi keistimewaan' dalam persembahannya. Selesai persembahan Iwan, Nad yang membawakan lagu Jikalau Aku nyanyian asal Ezlynn pula mengambil tempat.

Meskipun masih mempunyai banyak masalah teknikal dalam nyanyiannya, Nad menunjukkan peningkatan dari segi penguasaan pentas.


"Nad, awak sudah semakin berani menggunakan pentas. Saya tidak mahu menyentuh soal vokal awak tetapi ramai juga penghibur di luar sana yang suaranya tidak sebagus mana namun kerana penguasaan pentas yang baik, mereka dipandang hebat," kata Aznil.


Pun begitu, perjuangan Nad terhenti setakat konsert keenam saja apabila diumumkan tersingkir menerusi Debaran AF sehari selepas konsert berkenaan, ekoran mendapat undian terendah penonton.


Maulana yang diberi tugasan menyampaikan lagu Bila Rindu dendangan Ruffedge diiringi petikan gitar solo Sham Kamikaze, terus memukau pengkritik dan penonton menerusi persembahan yang menarik dan konsisten.

Syafinaz berpendapat, Maulana patut dikekalkan sehingga ke peringkat akhir. Aznil pula menganggap pemuda itu hebat kerana baginya penyanyi sudah bertauliah pun belum tentu mampu melakukan seperti apa yang dipersembahkan Maulana. Cuma Aznil menegur pihak produksi supaya memberikan imej 'bintang' kepada Maulana.


Satu lagi persembahan yang diangkat antara terbaik malam itu daripada Adira, peserta paling berbakat dan konsisten selain disebut-sebut bakal menjuarai AF8.


Adira membawakan lagu My All dipopularkan Mariah Carey dan memperoleh 97% markah daripada Adlin manakala 101% (Aznil). Syafinaz yang pertama kali diundang sebagai pengkritik AF8, turut memuji persembahan gadis kelahiran Tawau, Sabah itu yang disifatkan memiliki 'strong voice'. Shahir yang berusaha mencengkam emosi penonton menerusi persembahan Kau Yang Satu sambil diiringi kumpulan Kopratasa bagaimanapun dikatakan terlalu berlebih dalam cubaannya kali ini.


Sementara itu, pemilihan lagu Selamat Malam (Faizal Tahir) yang diberikan kepada Daus menurut Syafinaz terlalu besar untuknya. Dengan kemampuan vokal yang 'terhad' pihak produksi harus mengkaji semula lagu yang bersesuaian dengan vokal peserta dari Sarawak itu.

Adlin pula menganggap Daus antara peserta paling lemah memandangkan saban minggu membuat persembahan, tiada sebarang peningkatan ditunjukkan.

Secara keseluruhan, graf peningkatan pelajar AF8 dari segi mutu suara dan persembahan masih sangat perlahan berbanding peserta musim sebelumnya yang mampu memberikan pelbagai kejutan, apatah lagi untuk konsert minggu keenam.

Peserta musim AF2 disifatkan terbaik setakat ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top