Hayat Achik sudah ditakdirkan Allah berakhir dalam situasi begitu. Kita yang mengenalinya dari jauh hanya sekadar mampu berdoa memohon Ilahi menempatkan Allahyarham di sisi orang-orang yang beriman.
Ketika ini juga, orang yang paling sedih pastinya isteri Achik, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 26 atau lebih mesra disapa sebagai Tasha.
Kepada Tasha, Achik bukan hanya pergi membawa cinta yang mereka semai selama ini, tetapi Allahyarham pergi membawa bersama perjuangan dan pengorbanan yang terlalu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
Tasha punya sebab untuk merasa sugul kerana suami yang selama ini menjadi pelindung kepada dia dan dua orang anak mereka, Putri Salfiah,2, dan Putri Nursumaiyyah,10 bulan, tidak akan kembali lagi untuk terus menganyam buih-buih cinta.
Masih jelas melekat di fikiran Tasha perbualan terakhir dengan Allahyarham kira-kira setengah jam sebelum mereka bercerai mati.
Dalam perbualan itu, Achik kata Tasha, beria-ia mahu membawa dia dan anak-anak mereka menghabiskan masa bersama.
"Allahyarham bercadang membawa kami keluar berjalan-jalan. Bagaimanapun tidak lama selepas itu, saya mendapat satu panggilan telefon mengatakan suami saya itu terbabit dalam kemalangan jalanraya dan sudah meninggal dunia," katanya yang merasakan dunia di sekelilingnya gelap gelita kala mendapat berita sedih itu.
Kesayuan dan kesedihan Tasha tambah berganda bila mengenangkan suaminya yang ketika itu dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas jauh di pusat bandaraya Kuala Lumpur.
Allahyarham Achik dari kaca mata Tasha merupakan seorang suami yang sangat bertanggungjawab dan meletakkan keluarga sebagai keutamaannya.
Kesediaan Achik berulang alik antara Ampangan, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari rezeki sudah cukup untuk menggambarkan Allahyarham tidak pernah mengabaikan isteri dan anak-anak.
Achik menghembuskan nafas terakhir dalam kecelakaan jalanraya selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya terbabas di Kilometer 14.7 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) sebelum susur keluar Pajam arah selatan Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Achik meninggal dunia di tempat kejadian, tidak jauh setelah melepasi Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Beranang dan dua kilometer sebelum susur keluar Pajam, arah selatan.
Allahyarham cedera parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan lain selepas MPV Toyota Estima dipandunya terbabas lalu melanggar tiang papan tanda susur keluar Pajam
Achik sebelum itu muncul dalam rancangan Gah 1 yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM.
Bagaikan sudah tahu yang dia bakal menemui ajal, Achik beberapa kali berpesan kepada isterinya supaya menonton rancangan tersebut.
"Sebelum berangkat ke Kuala Lumpur dia berpesan kepada saya supaya jangan lupa menonton rancangan Gah 1 bersama anak-anak kami. Saya tidak sangka, itu rancangan TV terakhirnya yang kami sekeluarga tonton," katanya ketika ditemui di Makam Haji Mohd. Said, Ampangan tempat jenazah Allahyarham suaminya disemadikan.
Sambil mengesat air matanya, Tasha juga menceritakan bahawa Allahyarham merancang untuk mengecat rumah yang baru didiaminya sejak kira-kira seminggu lalu di Taman Desa Rose, Ampangan yang sepatutnya dilakukan Ahad lalu.
Kesedihan dan kepiluan turut dirasakan oleh seorang teman Achik yang berada bersama-sama Allahyarham dua jam sebelum takdir ini berlaku.
Apa yang menyentuh emosi Fatul Rahim Salim atau Amy yang juga Pengurus Promosi di syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) ialah sebelum masing-masing berpisah untuk pulang selepas selesai tugas di RTM, Allahyarham memberikan lambaian buatnya.
Pada pemahamam Amy, lambaian Achik itu saling tidak ubah seperti lambaian yang lazimnya diberikan oleh orang lain sebelum berpisah. Namun, tidak pula terfikir lambaian itu yang terakhir daripada seorang artis yang pernah diuruskannya.
Sehingga ke akhir hayat Achik, penyanyi kumpulan pop rock itu dan Amy, cukup rapat dan hubungan mereka sangat akrab dan sudah seperti abang dan adik sejak mereka sama-sama terlibat dalam industri muzik lebih sedekad yang lalu.
"Selepas habis siaran langsung rancangan Gah 1 yang dijayakan Achik dan Nana di Wisma TV, Angkasapuri, saya dan Allahyarham berjalan bersama-sama menuju ke kereta kami yang diletakkan di kawasan parkir di situ.
Lambaian terakhir
"Sewaktu menuju ke keretanya, arwah sempat melambai-lambaikan tangannya kepada saya. Sebelum ini, dia tidak pernah berbuat begitu. Saya tidak sangka itu adalah lambaian terakhirnya kepada saya," kata Amy dalam nada sebak kepada Hits sewaktu ditemui di Makam Haji Mohd. Said, Ampangan, Negeri Sembilan sejurus selepas majlis pengkebumian Achik Ahad lalu.
Sifat luar biasa Achik bagaimanapun, disedari Amy sebelum siaran langsung Gah 1 apabila dia banyak berbual dan bertegur sapa dengan para krew RTM yang menjayakan siaran langsung rancangan tersebut.
"Saya tidak pernah lihat dia (Allahyarham) macam itu sebelum ini. Bukan itu sahaja, pada awal pertemuan kami di Angkasapuri pada petang tersebut, arwah panggil saya dengan menyebut nama penuh saya iaitu Fatul Rahim.
"Ini juga tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Sebelum ini, arwah hanya panggil saya Abang Amy sahaja. Saya tidak menyangka itu mungkin tanda arwah mahu meninggalkan kita selama-lamanya," ujarnya lagi.
Dalam Gah 1 tempoh hari, Allahyarham menyanyikan lagu secara solo berjudul Kau Yang Ku Cinta dan berduet dengan Siti Nordiana atau nama dalam lagu Mencari Ketenangan.
Menurut Amy, sepanjang lebih 10 tahun menguruskan aktiviti nyanyian Achik, dia tidak menghadapi masalah, sebaliknya Allahyaraham merupakan seorang yang mudah menerima teguran dan sentiasa memberi kerjasama kepadanya.
"Bagi saya, Achik antara artis di FMC yang mudah untuk saya uruskan. Saya kenal dia hampir 11 tahun lalu dan hubungan kami bukan lagi seperti pengurus promosi dan artis, bahkan kami sudah seperti adik beradik," ujar Amy menjelaskan hubungan akrab beliau dengan Allahyarham.
Kini Amy tidak punya ruang atau kesempatan untuk melalui semua itu dengan Achik lagi. Bukan saja Amy bahkan isteri Allahyarham, Tasha dan dua orang anaknya juga harus menerima apa yang sudah ditentukan oleh Ilahi dengan reda.
Itulah perjanjian antara Abdillah Murad Md. Shari atau Achik dengan Allah.
Tiada siapa di antara kita yang boleh mempersoalkan ketentuan ini kerana sebagai umat Islam kita harus akur dan reda bahawa ajal dan maut adalah kerja Allah.
Buat Achik, kami pasti akan merinduimu. Damailah kamu di sana wahai sahabat. Semoga Allah akan mencucuri rahmat ke atasmu. Al-Fatihah.
~ Utusan
0 ulasan:
Catat Ulasan