Akademi Fantasia musim ke lapan (AF8) dikatakan semakin lemau. Entah dimana silapnya rancangan realiti paling berpengaruh itu semakin hilang magisnya. Pelajar-pelajar yang dipilih menyertai rancangan ini juga dilihat tiada aura untuk “digilai” berbanding peserta musim-musim yang lepas.

Dalam masa yang sama gandingan pengacara Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley juga gagal untuk menjadikan AF8 ini sesuatu yang menghiburkan.

Maka ada suara-suara sumbang yang cuba membandingkan mereka dengan A.C Mizal. Ada yang berkata Jimmy dan Sarimah masih tak boleh “pukul” A.C. Sarimah terlalu ‘kecoh’ sementara pentas AF pula terlalu ‘besar’ untuk seorang Jimmy.

Selain itu ada juga pendapat yang mengatakan jika beginilah graf AF yang semakin merudum, eloklah rancangan tersebut ditamatkan sahaja pada musim akan datang.

Norman Abd. Halim yang diberi tanggungjawab memimpin AF8 sebagai pengetua turut didakwa lemah dalam mendidik pelajar sehingga mereka dilihat suka “main-main”. Kenapa hal ini terjadi?

“Saya bukan pengetua yang suka membawa rotan,” kata Norman ketika saya berbual dengannya mengenai kemerosotan AF8 seperti yang diperkatakan. Ikuti penjelasan Norman.

AF8 dikatakan hilang magisnya. Sebagai pengetua, apakah Norman setuju dengan pandangan itu?

Saya mengaku ramai yang membuat tanggapan itu. Tetapi ramai juga yang memuji. Macam nilah... Jangan terlalu cepat untuk membuat hukuman. Berikan saya masa untuk melatih mereka. Saya agak terkilan apabila pada minggu pertama orang dah bagi komen negatif. Kita kena ingat, peserta AF8 kebanyakannya budak-budak luar bandar. Mereka perlu diberi pendedahan secara perlahan-lahan. Bukan mudah nak ajar mereka.

Orang kata pelajar AF8 banyak yang main-main. Norman macam tak serius langsung dengan dia orang.

Sebenarnya banyak aktiviti dilakukan dalam akademi. Cuma ia tak ditunjukkan di TV. Untuk pengetahuan, mereka bekerja 10 jam sehari melakukan aktiviti untuk meningkatkan kemampuan diri. Cuma yang kita tengok dalam Diari AF tu hanya 18 minit sahaja. Jadi orang akan membuat tafsiran yang tak betul.

Ada yang cakap, Norman kurang tegas, ‘ala-ala’ baik berbanding pengetua AF yang lalu, setuju?

Saya bukan jenis yang suka bawa rotan. Zaman bawa rotan tu dah berakhir. Saya nak jelaskan, ada pelajar yang menangis teresak-esak kena tegur dengan saya tapi tak masuk TV. Jadi orang tak tahu. Orang anggap saya tak serius. Pendekatan saya ialah saya nak mereka mempunyai tahap komunikasi yang tinggi dengan semua tenaga pengajar. Kalau mereka ada sikap itu, barulah mudah untuk kita membentuk. Saya tak mahu orang takut dengan saya.

Ada juga anggapan pelajar kali ini agak mengada-ngada, sebab itu sukar dibentuk. Betul ke?

Sebenarnya mereka ada banyak aktiviti luar kelas tanpa kehadiran cikgu. Di dalam TV aktiviti itu yang didedahkan kepada penonton. Tapi aktiviti sebenar yang lebih serius orang tak tengok. Sebab itulah timbul tanggapan sedemikian. Saya secara jujurnya nak bagi tahu, dia orang mempunyai komitmen yang tinggi.

Prestasi budak-budak tu masih tidak menonjol. Apa masalahnya?

Minggu pertama persembahan bukanlah ukuran kerana ia masih baru. Minggu ketiga pula saya mengaku memang konsert yang paling teruk kerana kesemua pelajar itu ada gangguan emosi. Ia bukan salah mereka pun. Dan minggu keempat saya dapati prestasi mereka semakin baik. Sekarang ni saya minta semua pihak supaya membuat perbandingan sehingga minggu keenam. Saya yakin apabila masuk minggu itu, kita akan menyaksikan satu persembahan yang lain. Itu janji saya.

Jika peminat tak suka, implikasi buruknya juga kepada Norman, dan anda juga membawa imej KRU. Tak risau ke?

Saya mengaku orang akan ingat 18 tahun KRU hidup dalam dunia muzik. Oleh sebab itu mereka ingat saya akan boleh buat benda yang sama dalam AF8. Tapi percayalah yang saya akan lakukan sesuatu kepada pelajar-pelajar saya. Jaminan saya ialah apabila habis AF8, enam orang daripada 12 peserta akan mendapat peluang daripada saya. Saya juga boleh bagi jaminan yang 6 peserta itu akan bertahan dalam dunia hiburan sekurang-kurangnya dari 3 hingga 5 tahun. Saya akan bantu kerjaya mereka.

Saya melihat juga peranan pengkritik yang kadang-kala tidak sehaluan dalam memberi komen. Ia sebenarnya memberi kesan buruk kepada peserta. Komen mana satu nak ikut jika sesama pengkritik pun memberi idea bercanggah. Norman setuju dengan saya?

Saya mengaku kadang-kala pengkritik memberi komen yang tidak membantu mereka. Kritikan mereka lebih kepada ekspresi semata-mata. Macam Adlin Aman Ramlie, dalam konsert keempat, dia kata Iwan memberi persembahan terburuk, pendapat Adlin saya tak setuju langsung. Kritikan itu tak rasional dan melampau. Ia berniat untuk menjatuhkan maruah mereka. Kita kena ingat, budak-budak tu datang dari luar bandar. Latihan mereka masih lagi kurang.

Tapi biasalah, kalau cakap macam tu, Norman akan dikatakan tak boleh dikritik pula, ya tak?

Saya hanya boleh terima kritikan kalau ia dibuat secara rasional dan membangunkan pemikiran mereka. Kalau tujuan kritik itu untuk menjatuhkan maruah orang dan dibuat ikut perasaan, itu tidak adil. Bukan apa, kritikan mereka sebenarnya turut memberi kesan kepada pengundian orang ramai.

Apa perubahan yang dapat Norman janjikan untuk AF8?

Beginilah! Untuk konsert minggu keenam keatas, saya akan pastikan ada perubahan pada diri mereka. Saya tak nak bentuk mereka nak jadi macam P.Ramlee, Saloma atau Sudirman. Tapi saya nak kesemua mereka mempunyai identiti aliran muzik masing-masing. Konsert pada minggu pertama hingga kelima ialah untuk mencari aliran muzik apa yang sesuai dengan mereka. Selepas kita tahu kebolehan mereka itu barulah kita akan tampil dengan sesuatu yang berbeza.

Soal pemilihan lagu pula macam tak best. Kenapa pada minggu keempat Alif menyanyikan lagu Hanya Di Radio yang telah “didangdutkan”? Kalau nak tengok dia boleh menyanyi lagu dangdut atau tidak, bagi saja lagu dangdut yang sebenar?

Sebenarnya lagu-lagu yang pernah dinyanyikan dari AF1 hingga AF7, tidak digalakkan untuk dinyanyikan dalam AF8 ini. Kami kena ikut garis panduan. Untuk persembahan Alif, kami tak mahu nampak bosan kerana dia asyik menyanyi lagu-lagu yang tidak beberapa mengujinya. Jadi Adnan terpaksa ubah lagu Hanya Di Radio itu dalam bentuk dangdut untuk mencari kelainan.

Seandainya AF8 ini gagal? Bagaimanakah agaknya?

Saya tahu ramai yang melihat kredibiliti saya selepas 18 tahun penglibatan saya dalam seni. Untuk AF8 ni memang saya sanggup ambil risiko. Kalau gagal, saya tanggung risiko tu tapi saya ada harapan tinggi kepada enam peserta yang saya janjikan tempat itu nanti. Saya bukan malaikat, saya bukan nabi. Filem-filem saya pun ada yang berjaya ada juga yang gagal. Tapi saya minta kalau nak buat penilaian bukan pada konsert pertama. Penilaian kepada saya perlu dibuat sekiranya rating dan SMS yang diterima itu rendah. Ia baru kegagalan.


Oleh NIEZAM ABDULLAH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top