Debaran Akademi Fantasia 8 (AF8) minggu keenam yang diumumkan malam tadi menyaksikan peserta Nadia Emilia Roselan atau Nad tersingkir daripada program popular itu.

Lagu Jikalau Aku (nyanyian asal Ezlynn) dendangan Nad kelmarin gagal menambat hati penonton yang mendapat undian terendah iaitu 11.03 peratus menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pengetua AF8, Norman KRU berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan itu memandangkan Nad menduduki tempat terendah beberapa minggu sebelum ini.

Namun begitu, dia lebih menjangkakan Daus atau nama sebenar Muhd Shahril Firdaus Eli tersingkir kerana mempamerkan persembahan hambar melalui lagu Selamat Malam (nyanyian asal Faizal Tahir).

"Saya tidak terkejut sebab memang sudah lama kita tengok prestasi Nad berada pada ranking tercorot walaupun dia membuat persembahan terbaik semalam.

"Namun jika diikutkan dari mutu persembahan pada konsert keenam lalau, saya rasa Daus memberikan persembahan paling yang paling lemah," katanya pada sidang media di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, semalam.

Katanya, Nad sudah tampilkan persembahan terbaik dan mempunyai bakat muzik bergenre rock.

"Dia perlu berlakon, menyanyi, menari dan menjiwai sesebuah lagu sampai seolah-olah dia berlakon dalam teater. Dia terpaksa menjiwai sesuatu watak yang ditugaskan," jelasnya.

Tambahnya, persaingan sengit dengan kehadiran banyak peserta berbakat di AF8 turut menyekat kemaraan penyanyi berasal dari Klang itu ke pusingan seterusnya.

Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios berkata, penyanyi AF8 yang disingkirkan tidak akan dipinggirkan begitu sahaja.

Malah katanya, pihaknya akan sentiasa mencari jalan untuk memberikan bimbingan kepada mereka supaya 'tidak terumbang-ambing' di luar AF kelak.

Sementara itu, Nad memberitahu, dia sudah menjangkakan penyingkirannya kerana gagal memberikan persembahan mantap kelmarin.

Penyanyi kumpulan The Nadia's ini juga menafikan keadaan kesihatannya yang kurang sihat menyebabkan dia gagal menyanyi dengan baik.

"Saya akan teruskan perjuangan seni dan ingin menjadi penghibur dalam rock band yang susah dicari serta mempunyai imej tersendiri di negara ini," kata penuntut tahun kedua Universiti Multimedia Melaka.

Nad akan menyambung semula pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa selepas menangguhkan semester kerana terlibat dalam AF8.

Terdahulu, pada persembahan terakhirnya kelmarin, Nad terpaksa meninggalkan pentas secara tiba-tiba ekoran kesihatan yang kurang baik.

Selepas penyingkiran Nad, tujuh peserta lain meneruskan cabaran pada minggu depan, iaitu minggu ketujuh AF8.

Mereka ialah Adira yang mengungguli kedudukan dengan 13.58 peratus, Shahir (13.52), Daus (12.73), Farina (12.69), Maulana (12.39), Ain (12.18), Iwan (11.88) dan Nad (11.03).

Oleh AU YEONG HOW

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top