Kisah tentang penagih dadah yang kepulangannya tidak diterima masyarakat sehingga menyebabkan dia terjebak semula ke kancah itu. Pemuda bernama Kamil yang sentiasa dipersalahkan oleh masyarakat akhirnya kembali menagih akibat dari patah hati dengan teman wanitanya. Banyak lagi pengajaran yang cuba diterapkan dalam telefilem ini.
Memegang watak utama sebagai Kamil menerusi telemovie berjudul Jiwa Kacau, pendatang baru dunia seni tanah air, Syed Ali Tar Mohd, 25, (gambar) mengaku mempunyai kisah peribadi tersendiri yang berkait rapat dengan watak yang dibawanya.
“Bukan senang untuk melakonkan watak penagih dadah, tetapi mujurlah pengalaman yang berlaku ke atas keluarga saya banyak membantu. Telemovie ini sangat berkait rapat dengan kisah abang saya yang juga merupakan seorang penagih dadah, tapi kini telah pun kembali pulih dan sihat sepenuhnya.
“Terdapat beberapa babak dalam cerita ini yang sedikit sebanyak menyentuh detik-detik ketika abang saya masih berada dalam keadaan tertekan akibat dikeji oleh masyarakat sekeliling. Pernah satu ketika abang membawa parang sekeliling kampung setelah tidak tahan mendengar umpat keji oleh masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran telemovie berkenaan di pejabat Mawi, MW Entertainment Sdn. Bhd, di Wangsa Maju, baru-baru ini.
Anak muda kelahiran Kuala Kangar, Perak ini juga tidak segan silu berkongsi kisah bersama rakan media bahawa pada asalnya dia tidak begitu yakin dapat menjiwai watak berkenaan dengan baik. Malah ketika penggambaran telemovie itu, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menghayati watak itu.
Namun, dengan kesungguhan yang ada, dia akhirnya berjaya membawakan watak itu malah turut mendapat pujian dari pengarah, Rahila Ali dan penerbitnya, Mawi. Sebagai pelakon baru, Syed Ali, memberitahu, dia sanggup melakukan apa sahaja, termasuklah dibuli habis-habisan demi menghayati watak tersebut.
“Ada beberapa babak yang dilakonkan secara ‘real’ antaranya babak muka saya diludahi dan dipukul oleh penduduk kampung. Memang seksa, tapi saya tak kisah sebab biarlah ia nampak ‘real’ dan dapat memuaskan hati pengarah dan penerbit, ” katanya yang pernah membintangi drama bersiri Renjis di Astro Ria, sebelum ini
0 ulasan:
Catat Ulasan