“Sudah sampai masanya untuk saya berkongsi kebahagiaan ini bersama masyarakat di luar, cinta saya dan abang Norman bukan lagi rahsia,” ujar aktres jelita Suhaiza Suhaimi atau Memey ketika ditanya tentang kemesraan mereka sejak kebelakangan ini di hadapan khalayak.

Gadis berusia 21 tahun itu tidak mahu lagi berdolak-dalik tentang hubungan cinta mereka di mata umum dan mengakui kini mereka lebih bersedia.

“Saya tahu ramai yang tahu tentang hubungan cinta kami, cuma di hadapan khalayak kami lebih berhati-hati dan mungkin sekarang masa yang paling sesuai pada saat semua kontroversi mula reda dan saya yakin masyarakat sudah menerima saya semula,” jelasnya yang dirias bagaikan Puteri Hang Li Po menunggu lamaran Raja Melaka, Sultan Mansur Shah.

Sementara itu, Memey yang terbuka dengan hubungan cintanya itu juga memberitahu bahawa kekasihnya Norman sudah beberapa kali melamarnya.

“Abang Norman ada mengajak saya berkahwin Julai ini, tapi saya tak pernah mengambil serius perkara itu dan menganggap dia hanya bergurau. Saya masih belum bersedia untuk memberi komitmen sebagai seorang isteri.

Jika sudah bergelar isteri saya tidak tahu sama ada saya boleh berlakon lagi atau tidak.

“Mungkin Julai ini tidak sesuai kerana terlalu awal, saya tidak mahu ia dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa, “ jelas Memey yang mengimpikan perkahwinan sederhana.

Menurut Memey keluarga kedua-dua belah pihak kini sudah bersedia dan sering bertanyakan hal tersebut, namun sehingga kini belum ada persiapan ke arah itu.

“Memang keluarga saya dan abang sering bertanyakan hal ini, bagi pihak perempuan, saya hanya menunggu langkah permulaan dari lelaki,” ujarnya yang enggan mengikat tali pertunangan terlebih dahulu.

Bercerita tentang persepsi negatif masyarakat tentang dirinya, Memey mengakui perkara tersebut tidak dapat dielakkan, namun sebagai artis dia perlu menerimanya.

“Saya yang pilih jalan ini, jadi saya perlu hadapinya. Saya tahu bukan semua yang kita buat orang akan suka. Tapi lama-kelamaan ia akan kembali jernih semula.

“Jujur pada peringkat selepas insiden (khalwat) tersebut, saya berasa takut untuk keluar rumah dan berhadapan dengan masyarakat dan khalayak, tapi lama-kelamaan keadaan sudah pasti akan kembali pulih. Semua manusia tidak sempurna dan pasti akan melakukan kesilapan, apa yang penting ialah kita belajar daripada perkara tersebut,” ujarnya.

Oleh KEMALIA OTHMAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top