Pihak pengurusan Downtown Kajang@Bukit Dukung, menganjurkan pertandingan Battle Of The Band bermula 28 Januari ini.

Pengarah Urusan KL Downtown Night Market, Mohd Rustam Roshandin, berkata, dia terpanggil untuk mengadakan pertandingan itu apabila melihatkan remaja hari ini banyak yang membuang masa.

"Sebenarnya di kalangan mereka ramai yang berbakat terutama dalam bidang seni namun mereka tidak tahu dia mana hendak memulakan langkah. Oleh itu saya berharap melalui pertandingan Battle Of The Band ini, mereka dapat memberikan perhatian untuk menyertainya dan tidak lagi membuang masa tidak tentu hala.

"Saringan bermula 28 Januari ini, jam 9 malam. Ia terbuka kepada semua warga negara ini pelbagai peringkat usia," katanya.

Tambah Rostam, peringkat saringan itu bermula 28 dan 29 Januari serta sepanjang Februari ini, setiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad). Semua pertandingan akan dijalankan di pentas utama Downtown Kajang@Bukit Dukung.

Pada peringkat saringan setiap minggu, penganjur akan menjemput artis popular menjadi juri. Pertandingan akhir akan diadakan pada 5 Mac, jam 9 malam.

Antara syarat pertandingan, band bertanding mesti membawa dua lagu wajib iaitu satu lagu rock dan satu lagu rancak. Ia terbuka kepada semua kumpulan muzik, amatur atau profesional (lelaki dan wanita).

"Black Metal dan lagu yang menyentuh sensitiviti sesetengah kaum di tegah sama sekali. Pihak pengurusan Downtown mahu remaja atau peserta yang bersih daripada dadah dan alkohol. Kami mahu remaja menjalani kehidupan sihat supaya dapat menjadi contoh kepada yang lain.

"Justeru ia bersesuaian tagline pertandingan, `Tanpa Dadah, Tanpa Alkohol, Jadikan Muzik Itu Bersih'. Apabila menyebut mengenai muzik rock pasti masyarakat mengaitkannya dengan dua perkara itu. Kita mesti buktikan yang muzik rock itu bersih," katanya.

Yuran penyertaan satu kumpulan RM100 dan anggota band paling minimum seramai tiga orang. Setiap kumpulan diberi masa selama 15 minit termasuk tuning untuk beraksi di pentas.

Tarikh tutup penyertaan hari ini dan borang boleh didapati di Downtown Cheras, Downtown Kajang@Bukit Dukung, Restoran Santai Ria di Teluk Panglima Garang, kedai muzik Lestari Sounds Studio dan studio jaming terpilih.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah RM3,000, tempat kedua, RM2,000 dan ketiga, RM1,000. Mereka juga diberi piala, cenderamata dan sijil. Hadiah misteri juga disediakan untuk Persembahan Kumpulan Terbaik, Gitaris Terbaik dan Vokalis Terbaik.

Untuk pertanyaan lanjut hubungi Kamal di 019 3649918 atau Zamri (012 2104004). Pertandingan ini anjuran bersama Downtown Night Market, Pengasih Malaysia, Grand Saga Sdn Bhd dan Roshan Holding. Penganjur bersama, Lestari Sounds Studio.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top