Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang dianjurkan sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 dan menjadi medan mencungkil bakat baru nyanyian, muncul lagi bermula Februari depan sempena siri jelajah ABPBH di enam lokasi seluruh negara.

Pusingan pertama siri jelajah itu pada 19 dan 20 Februari akan diadakan di SACC Mall, Shah Alam diikuti Kuantan Parade, Kuantan (26 dan 27 Februari), The Mall Kuala Lumpur (5 dan 6 Mac), Village Mall, Sungai Petani (11 dan 12 Mac), Kompleks Pasir Gudang Johor Bahru (19 dan 20 Mac) dan lokasi terakhir ialah di Klang Parade, Klang, Selangor pada 26 dan 27 Mac nanti.

Penolong Pengurus Pemasaran/Perdagangan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), yang juga Pengerusi Siri Jelajah ABPBH2010, Shamsaini Salim, berkata atas komitmen mahu menobatkan industri seni tanah air pihak penganjur meneruskan BIBH yang kini memasuki tahun ketiga penganjuran bagi mencungkil bakat baru yang boleh diketengahkan untuk mewarnai industri berkenaan.

Katanya, beberapa syarat baru diperkenalkan kepada peserta BIBH pada kali ini yang bertujuan memperkemas dan memperbaiki lagi kualiti, termasuk peserta yang mengambil bahagian perlu mengumpul 15 keratan kepala akhbar Berita Harian, berbanding 10 sebelum ini selain had umur peserta mesti mencapai 15 tahun pada 2011.

Selain itu, Shamsaini berkata, syarat lain termasuk peserta musim lalu yang menjadi johan tiga kali berturut-turut serta mereka yang pernah merakamkan album tidak layak menyertai pertandingan kali ini bertujuan memberi lebih peluang kepada calon lain menonjolkan diri.

Menurutnya, syarat lain termasuk peserta dikehendaki menyanyi tanpa muzik ketika ujian kelayakan suara dan iringan sebarang alat muzik seperti gitar tidak dibenarkan.

"Kita jangka antara 100 dan 120 peserta mencuba nasib dalam BIBH di setiap lokasi dan tidak kemungkinan jumlah penyertaan meningkat kali ini berikutan beberapa pemenang BIBH pada musim lalu sudah mendapat peluang untuk merakamkan album dan bergelar artis,” katanya.

Village Mall amat berbesar hati untuk menjadi tuan rumah siri jelajah ABPBH2010 dan BIBH yang mana ia mampu menjadi medan menjalinkan hubungan rapat antara Berita Harian, kompleks berkenaan serta pengunjung selaku pembaca akhbar ini.

"Kita komited menjayakan program ini yang dilihat menjadi landasan untuk memartabatkan perkembangan industri seni tanah air," katanya.

Noor Nazatul Farahin dan Nurlida pula sependapat bahawa BIBH menjadi saluran penting untuk pencinta seni suara mengetengahkan diri dan bakat bagi menggapai cita-cita bergelar penyanyi dan penganjurannya wajar diambil peluang oleh mereka yang meminati bidang itu.

Mereka juga mahu penganjuran BIBH diteruskan pada masa akan datang kerana ramai di luar sana yang mencari medan sesuai untuk menonjolkan bakat seni yang ada.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top