Tiada lagi kereta sebagai hadiah utama program Raja Lawak musim ke lima yang akan memulakan episod pertama pada 7 Januari nanti. Juara musim terbaru program itu menerima wang tunai RM100,000, manakala RM50,000 untuk hadiah naib juara dan tempat ketiga pula menerima RM30,000.

Ia turut disertakan dengan pelbagai hadiah iringan yang boleh dijadikan bekalan untuk membawa nama sebagai selebriti sebaik program ini menutup tirainya tiga bulan daripada episod pertama disiarkan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pemberian hadiah wang tunai adalah lebih bernilai buat peserta untuk memulakan karier barunya sebagai selebriti, khususnya dalam dunia komedi.

"Seperti musim sebelum ini, mereka yang masih berminat di dalam dunia seni ini kita ambil, dan serapkan ke dalam beberapa program terbitan Astro. Ini secara tidak langsung mereka memperoleh karier baru seperti dalam bidang pengacara dan pelakon.

"Pemberian wang tunai membolehkan mereka mengatur sendiri perjalanan karier selepas program ini berakhir. Di Astro kita memiliki banyak saluran yang boleh diserapkan bagi mereka yang betul-betul berbakat," katanya yang ditemui pada sidang media memperkenalkan 12 peserta Raja Lawak musim kelima di Pasar Seni Isnin lalu.

Program Raja Lawak diwujudkan bagi mengisi kekosongan pelakon komedi atau pelawak yang dilihat semakin berkurangan, apabila generasi muda lebih memilih nyanyian dan lakonan.

"Objektif asal program ini 100 peratus adalah untuk melahirkan bakat pelawak tanah air dan disebabkan itu juga kita tidak memikirkan pakej lengkap yang harus ada pada setiap peserta seperti paras rupa.

"Bagi kami paras rupa itu adalah bonus sekiranya bakatnya lebih menonjol. Daripada lebih 2,000 mereka yang hadir pada uji bakat di seluruh negara, kita mendapat lapan kumpulan dan empat individu yang begitu berbakat.

"Peserta kali ini cukup unik dan berbakat bagi pemerhatian saya begitu juga dengan pandangan juri-juri yang memilih semasa sesi uji bakat dulu. Kadang-kadang saya terfikir, ke mana mereka sebelum ini dan kenapa sudah musim kelima baru kita menjumpai mereka.

"Apa-apa pun saya berharap peserta kali ini lebih dapat melahirkan kreativiti dalam mewarnai industri pelawak tanah air," katanya.

Menurut Nizam lagi, program ini masih mengekalkan konsep seperti mana musim sebelum ini dan pemarkahan bergantung kepada 100 peratus undian SMS daripada penonton.

"Konsepnya kita tidak perlu lagi ubah kerana penonton sudah selesa dan faham dengan konsep sebelum ini, cuma juri saja yang berubah. Kita juga tidak akan mengumumkan siapakah juri untuk musim ini kerana ia akan diketahui pada episod pertama nanti 7 Januari nanti setiap Jumaat bermula jam 9 malam menerusi Astro Prima," katanya.

Peserta musim kali ini terdiri daripada empat peserta solo dan lapan berkumpulan. Mereka terdiri daripada kumpulan Pukaw, R2, Bobo, Kopi O, Balas, Kami, Lucky dan TBO, manakala peserta solo pula ialah Nazmi, Man, Epy dan Leman.

Sanggup lepaskan kerja

Bagi peserta solo, Abd Rahman Kasim, 33 atau Man berkata, kerana minat yang mendalam dalam bidang seni, dia sanggup melepaskan kerjanya di Pos Malaysia biarpun sudah 13 tahun bekerja di situ.

"Sebenarnya sejak musim pertama lagi saya sudah menghadiri sesi uji bakat tetapi rezeki tidak berpihak. Ini adalah kali kelima saya mencuba dan alhamdulillah berjaya. Pada mulanya ada minta cuti tanpa gaji tetapi tidak diluluskan oleh majikan. Saya nekad berhenti walaupun sudah 13 tahun saya bekerja dan menyara keluarga.

"Saya tahu rezeki itu ada di mana-mana dan ambil risiko ini kerana ingin mengubah cara hidup saya sekarang dan isteri saya merestuinya. Saya berharap sangat saya dapat kekal sehingga ke peringkat akhir program ini dan ingin meneruskan bidang lawak ini sebagai karier baru," katanya yang tidak dapat menahan air mata sebaik diumumkan layak sebagai 12 peserta yang bersaing dalam Raja Lawak 5.

Jika musim ketiga lalu, program ini mendapat tarikan kerana disertai oleh peserta wanita yang terdiri daripada Jihan dan Yan, kali ini juga peserta wanita diwakili oleh kumpulan yang menggelarkan mereka sebagai KAMI.

Ia terdiri daripada Zarina Mohd Nor, 34 dan Elly Sarimah, 29 yang baru setahun mengenali sesama sendiri pada suatu sesi uji bakat.

Menurut Zarina, perkenalannya dengan Elly adalah seperti diatur dan kebetulan mereka mempunyai keserasian.

"Saya mengenali Elly ketika kami sama-sama menghadiri uji bakat MayFair di ibu negara. Dari situ kami berkenalan dan akhirnya keserasian itu ada dalam diri kami.

"Memang kami meminati bidang seni dan pernah menjadi pelakon tambahan dalam beberapa drama. Dari situ kami berbincang untuk bergabung menghadiri uji bakat Raja Lawak.

"Alhamdulillah juri memilih kami untuk diserapkan ke dalam program ini dan kami berjanji akan mencari satu kelainan bagi mengisi kekosongan pelawak wanita yang di negara ini," katanya.

Raja Lawak 5

* Program ini masih mengekalkan pengacara tetapnya iaitu Zizan dan Johan kerana kredibiliti mereka masih mampu mengekalkan momentum program ini.

* Kali ini ia diperkenalkan dalam tiga segmen iaitu Alkisah yang akan disiarkan pada 30 dan 31 Disember ini dalam dua episod selama sejam bermula jam 9 malam. Ia akan memaparkan suka duka peserta memasuki program ini.

* Segmen Kapsul akan bermula 3 Januari hingga 17 Mac selama 44 episod yang akan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis selama lima minit. Ia menyiarkan aktiviti peserta melakukan persiapan sebelum membuat persembahan.

* Segmen utama iaitu Gelanggang Raja Lawak akan bermula pada 7 Januari hingga 18 Mac setiap Jumaat bermula jam 9 malam. Ini adalah episod kemuncak bagi setiap minggu di mana mereka akan membuat persembahan secara langsung serta akan menyaksikan penyingkiran bagi mereka yang lemah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top