Jihan yang lahir dari program Raja Lawak melebarkan sayapnya ke bidang pengacaraan dengan mengendalikan program pengembaraan Destinasi Ke Destinasi.

Mengangkat konsep pengembaraan ke lokasi menarik seluruh Malaysia dengan gaya persembahan santai dan bersahaja, program 13 episod yang ditayangkan setiap Ahad jam 6.30 petang di Astro Prima (Saluran 105) sejak 9 Januari lalu memberi sepenuh kebebasan kepada graduan kejuruteraan ini menyuntik identitinya sendiri.

"Saya sekali lagi bersyukur kerana pihak Astro Prima percaya dengan karakter selamba saya untuk disuntik sebagai pengantara program penjelajahan ini. Saya sangat gembira kerana berpeluang mengalih sedikit tekanan dengan mengenali tempat orang.


"Bayangkan, sepanjang lebih kurang dua bulan setengah saya bersama produksi menjelajah seribu satu keindahan tropika serta alam hijau Malaysia, saya diberi mandat yang mencabar kredibiliti saya sebagai pengacara.

"Walaupun masih baru, saya perlu menggalas tanggungjawab dengan sempurna seperti menyalurkan seberapa banyak maklumat dan gambaran jelas mengenai lokasi dilawati.

"Saya berpeluang melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti mendaki gunung, berkayak merempuh arus deras, bermesra dengan hidupan liar dan menyusur gua gelap," katanya.

Destinasi Ke Destinasi turut merakam beberapa lokasi menarik termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Ledang, Taman Negara Merapoh, Endau Rompin, Pulau Dayang di Mersing, Tasik Kenyir, Bukit Merah, Gua Kelam, Gunung Stong, Hutan Belum, Wang Kelian di Perlis serta Kuala Kubu Baru.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top