Nampaknya dunia hiburan tanah air akan terus dihangatkan dengan kisah selebriti yang bakal berpisah, atau dengan bahasa lebih komersial, `potong ke'.

Cuma yang lagi membuatkan Cik Normah terlopong sebab pasangan yang dikatakan sudah tidak lagi bersefahaman ini juga antara peserta program popular Sehati Berdansa.

Jadi adakah benar program realiti tarian itu membawa badi kepada pesertanya? Sebagaimana peminat tahu, sudah ramai selebriti tanah air yang menyertai program ini akhirnya menjejakkan kaki ke mahkamah syariah, memutuskan ikatan perkahwinan masing-masing.

Isy.. Tak baik kan kalau kita percaya pada benda khurafat macam ni. Bagi Cik Normah, kalau sudah namanya takdir, kita kena terima ketentuan Tuhan. Berbalik kepada cerita yang disampaikan Man Dangdut, dengarnya, hubungan suami isteri itu sudah lama dingin hingga akhirnya mereka memutuskan untuk memilih haluan sendiri.

Setahu Cik Normah, sebelum ini memang mereka pasangan yang sangat romantis. Ibarat merpati dua sejoli. Lagi-lagi sepanjang program tarian itu berlangsung, kemesraan dan kebahagiaan mereka sangat sempurna pada mata penonton. Soal berbeza pendapat atau gaduh-gaduh manja tu biasalah. Bukan suami isteri namanya kalau rumah tangga tak ada pasang surut.

Sambung Man Dangdut lagi, dia sendiri tidak dikhabarkan punca sebenar perpisahan artis itu dengan suaminya, atau adakah perkara berkenaan sudah dibawa kepada pihak tertentu untuk disahkan. Kalau mereka belum melangkah ke mahkamah, lega jugalah hati Cik Normah. Iyalah, mungkin perasaan sayang masih menebal di hati masing-masing.

Apa pun Cik Normah tetap mendoakan kesejahteraan buat rumah tangga selebriti berkenaan. Kalau masih boleh diselamatkan, syukurlah. Kita sebagai orang luar ni takat mendoakan saja moga keutuhan kasih sayang pasangan terbabit terus terjalin.

Oleh Normah Becok
~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top