Dia berjaya menjalankan tugas yang diberikan dengan baik. Ada saja ideanya yang mencuit hati hingga membuatkan penonton ketawa.
Pakej yang ada padanya kelihatan lengkap kerana selain berlawak dan mengacara, dia juga boleh berlakon spontan adegan sedih hingga suasana di gerai Rap, begitu ceria dengan usikan demi usikan terhadap pengunjung dan artis jemputan yang diminta beraksi dalam adegan lakonan drama sebabak.
Itulah kelebihan salah seorang anggota kumpulan Ketampi, Mohd Amran Mat Isa atau lebih dikenali sebagai Am. Tuah tidak menyebelahi Ketampi apabila gagal meraih kemenangan dalam program Raja Lawak musim kedua.
Sekalipun berhempas pulas memberikan komedi terbaik, kumpulan yang turut dianggotai Badrull Hisham Samad (Bard) dan Nor Azmi Ibrahim (Azmi) ini akur gagal meraih undian pengundi yang memilih Nabil Ahmad sebagai juara, Cham di tempat kedua dan XN3 di tempat ketiga.
Bagaimanapun, kumpulan ditubuhkan Bard, bekas pemain dram kumpulan Excellent dan pernah menghasilkan album bersama syarikat rakaman NSR ini tidak patah semangat meneruskan karier dalam seni.
Kata Am, mereka tetap bersyukur kerana undangan mengadakan persembahan tidak putus-putus diterima.
Selalunya undangan ini datang secara pakej yang memerlukan mereka berlawak serta mengacarakan majlis.
"Tidak dinafikan, publisiti mengenai Ketampi jarang tersiar di media cetak. Tapi ini bukan bermakna kami menyepikan diri kerana kami banyak buat persembahan apabila dijemput pihak yang berminat.
"Undangan ini datang untuk persembahan di majlis rasmi, makan malam, pasar raya mahupun makan malam. Disebabkan dari Johor, kami juga buat program Kenali Astro Johor.
"Kami juga terbabit dengan roadshow barangan alat ganti motor jenama Faito, Karnival Gegaria Harian Metro, Gempak Desa Astro dan terbaru Maha Agro Challenge 2010 yang akan disiarkan di Astro tidak lama lagi.
"Mungkin orang kata susah nak bersaing. Tapi bagi kami di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Apa yang penting Ketampi tak berlagak dan 'demand'.
"Kami sering merendah diri serta berbincang mengenai harga yang diletakkan. Asalkan ia tak menindas, kami akan menerimanya dengan gembira," katanya.
Kekeliruan timbul apabila Ketampi dikatakan sudah berpecah. Apatah lagi kelibat Am yang pernah muncul berseorangan sebagai hos di beberapa majlis menguatkan lagi dakwaan itu.
Namun, Am menjelaskan mereka masih kekal dalam satu kumpulan. Cuma apabila dua lagi anggota lain tidak dapat bersamanya atas sebab tertentu, terpaksalah dia muncul berseorangan diri.
"Semua perkara yang dilakukan adalah menerusi persetujuan bersama. Kami bertiga mengenali antara satu sama lain sejak kecil lagi. Minat kami adalah memberi hiburan serta mengembirakan kawan-kawan. Sejak penyertaan Ketampi dalam Raja Lawak 2 lagi, kami telah sepakat tidak mahu berpecah dan mahu meneruskan kerjaya seni bersama-sama.
"Saya takkan melupakan jasa kawan-kawan yang berjuang dalam Ketampi. Kami bebas bergerak aktif mengikut rezeki masing-masing dan tak cemburukan sesama sendiri. Syukurlah kerana kami juga pernah dapat tawaran berlakon drama Dunia Anita, Jejak Pahlawan dan Rendang Tok Wan dan Lawak King," katanya.
Mengenangkan tanggungjawab besar bagi menyara keluarga, anggota Ketampi turut mempunyai pekerjaan lain sebagai pendapatan tetap.
Bard adalah seorang seorang pengusaha kedai jahitan langsir dan pakaian berjenama BHS Curtain and Apparel. Jika tiada show, masanya akan dihabiskan di kedai jahitan. Malah, dia juga berbakat dalam bidang itu.
Azmi pula bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perlu bijak membahagikan masa antara kerja tetap dan seni. Dia bersyukur majikan dan rakan-rakan selalu memberi galakan dan sokongan asalkan dia pandai menjaga imej serta nama baik syarikat. Dia juga menyediakan perkhidmatan sewa sistem bunyi untuk majlis kahwin, hari jadi dan sebagainya.
"Saya pula masih kekal mengusahakan restoran kerana berkebolehan memasak. Kalau ada masa lapang, saya isikan dengan memancing bersama Azmi. Ketampi sangat berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong karier kami walaupun kami kurang muncul di kaca TV. Sokongan mereka membuatkan Ketampi sentiasa berusaha memperbaiki diri dan maju dalam bidang seni," katanya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
0 ulasan:
Catat Ulasan