Ada benarnya, tanpa tenaga pengajar dan suara profesional, belum tentu setiap graduan sesebuah program realiti punya kekuatan tersendiri. Ibarat patung digerakkan, garapan serta bakat mereka lebih banyak dipengaruhi sentuhan wajah pengalaman ini.

Meskipun tidak mendapat limpahan publisiti meriah seperti program realiti lain, sesuatu yang sukar disangkal adalah pencetus idea konsepnya, Rosyam Nor masih mampu menghimpunkan wajah terkenal ini bagi mengiringi keseluruhan perjalanan Pilih Kasih untuk musim kedua.

Kali ini, selain masih mengekalkan Erma Fatima selaku tenaga pengajar teater, Rosyam muncul dengan strategi terbaru dengan mengundang tiga anak seni hebat bagi mengukuhkan lagi jenama programnya.

Kali kedua sebagai pengkritik tetap, Dr Abu Hassan Hasbullah yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media di Universiti Malaya turut ditemani Fauziah Nawi bagi mengkritik pelajar setiap minggu.

Aziz M Osman pula menggalas tanggungjawab mengarah segmen drama yang wajib menguji kemampuan lakonan setiap peserta sepanjang 11 minggu Pilih Kasih dijalankan sejak 11 Disember lalu.

Menurut Fauziah, 57, yang lebih tiga dekad menjalani hidup sebagai anak seni, perspektif bakat dan tahap kreativiti pelajar Pilih Kasih masih samar dan belum sepenuhnya disingkap.

Namun aktres kelahiran Ipoh, Perak, ini bingkas mencelah mempertahankan rasa percaya yang bakat baru pilihan Rosyam ini bakal memberi pilihan kepada pengarah dan penerbit bagi mewarnai pentas lakon tempatan.

"Bakat itu senang digilap selepas segala pengalaman dan ilmu disuntik. Keutamaannya adalah kesungguhan dan sifat ingin belajar yang akan memacu kemahiran itu menjadi lebih tajam dan sempurna.

"Pilih Kasih adalah sebuah gedung transformasi paling indah bagi melihat seseorang individu yang kosong bertukar menjadi seniman yang mungkin tampak hebat di layar lebar satu hari nanti.

"Jika dilihat, hanya program ini yang bertahan dan mengangkat seni lakon sebagai konsep utamanya manakala yang lainnya hanya mencari penyanyi, sedangkan kebanyakan peserta program nyanyian itu akan menjadi pelakon juga selepas gagal mencipta nama sebagai penyanyi.

"Namun di sini, semua 16 pelajar akan didedahkan sepenuhnya mengenai jalur lakonan serta bercerita mengenai seni itu dengan lebih mendalam dan terperinci.

"Tidak hanya pada lakonan drama atau filem yang dipersembah, sebaliknya mereka juga diberi asas seni lakon dengan terbabit dalam teater, pembacaan monolog serta lontaran emosi dengan kemas.

"Itu lebih berguna sebagai perisai awal sebelum menjadi pelakon berkaliber dan dinamik," kata bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia ini.

Mengiyakan bicara Fauziah, Aziz menyifatkan membentuk semua wajah baru ini bagai sumpahan kepadanya. Bukan kerana sering gagal atau mengundang pening, sebaliknya pengarah berusia 48 tahun ini sinonim dengan memimpin pelakon baru.

"Jujurnya saya pengarah yang gemar persekitaran baru. Bukan saja bekerja di lokasi lain, malah saya suka melihat pelbagai wajah baru menghiasi skrin monitor saya dan mendengar bagaimana pula reaksi mereka menjiwai watak.

"Walaupun ada kalanya leceh dan memenatkan, saya puas kerana segala-galanya masih baru dan saya adalah insan pertama menyentuh bakat mereka.

"Bukan perkara baru untuk saya mengarah 16 peserta ini kerana sebelum ini saya mencungkil bakat tersembunyi pada Maya Karin, Aleeza Kassim, Nora Danish dan beberapa bintang lain yang kini berjaya membina empayar sendiri.

"Bagai satu ketentuan buat kredibiliti saya sebagai pengarah untuk berdepan cabaran membentuk bakat baru, namun semua itu adalah proses pendidikan yang menarik buat saya.

"Usah dipertikai bakat lakonan mereka kerana semua yang berjaya menembusi gelanggang Pilih Kasih antara yang terbaik selepas proses uji bakat.

"Justeru, yang mungkin longgarnya adalah aspek terjemahan watak dan skrip diberi serta mainan emosi yang lemah. Kemungkinan masing-masing masih gemuruh atau cuba menyesuaikan diri.

"Itu bukan kerja berat buat saya kerana sebagai pengarah drama, saya lihat semua itu sebagai suntikan semangat buat saya untuk terus tajam melihat garapan terhadap pelakon," katanya yang juga sibuk dengan filem terbaru arahannya, Azura The Remix.

Kali kedua di kerusi sama tidak banyak lainnya buat pengkritik yang sinonim dengan pelbagai frasa luar biasanya, Dr Abu Hassan.

Selain mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku kali ini, Abu Hassan yakin dengan bentuk fizikal semua peserta akan dapat membantu mereka untuk terus mencipta nama sebagai anak seni terkenal.

"Silap yang lalu serta kurangnya terdahulu akan cuba diatasi kali ini. Jika versi pertama seakan-akan gagal menjulang kesemua 20 pesertanya menjadi terkenal, saya percaya rezeki lebih luas terbuka buat percubaan kedua ini.

"Bukan hanya bersandar pada wajah mereka yang komersial serta menarik menyandang watak utama, sebaliknya yang lebih penting bagi seseorang anak seni itu adalah bentuk fizikalnya.

"Saya pegang pada teori itu di mana fizikal yang lengkap akan memudahkan mereka berdiri tanpa perlu bertatih lama. Sejak dulu, Pilih Kasih tidak pernah menjanjikan seseorang yang popular, sebaliknya kerja keras produksi merantai mereka berbulan-bulan bagi memastikan mereka keluar dengan disiplin dan kredibiliti sempurna.

"Kita ingin membentuk setiap seorang itu menjadi seniman yang sarat dengan nilai baiknya dan tidak hanya megah dengan anugerah atau popularitinya.

"Saya tidak mahu ada lagi peserta yang plastik atau kosmetik kerana setiap hari yang disumbat dalam jadual harian mereka adalah peristiwa lakonan dan seni berguna untuk dipasakkan dalam jiwa dan kekal mengiringi kehidupan sebagai anak seni kemudian hari," katanya.

Biar kurang tempias glamor atau wajah terpampang menghiasi media, namun impak ditinggalkan akan terus mengingatkan program realiti kelahirannya.

Seperti dijanjikan Aziz, dia bukan mengharapkan seorang bintang akan mula bersinar sejurus tamat program realiti ini, sebaliknya pengarah terkenal itu percaya sebutir bintang dan beberapa teman cahayanya lain akan dilahirkan dengan sempurna sebaik Pilih Kasih melabuhkan tirainya.

Oleh Murshid Eunos

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top