Episod pertama Gelanggang Raja Lawak Astro 5 yang bersiaran menerusi Astro Prima, 7 Januari lalu adalah sederhana sahaja.

Dipancarkan dari Studio Finas, Hulu Klang, Raja Lawak 5 menerima sambutan hebat peminat sehinggakan ada yang terpaksa menunggu di luar studio kerana tempat sudah penuh.

Ia mulanya menampilkan Bob Lokman dan Afdlin Shauki sebagai pengkritik tetap namun gimik berlaku secara tiba-tiba apabila Bob naik ke pentas selepas Afdlin memberi komen terhadap peserta pertama, Abdul Rahman Kasim, 33, atau Man. Bob mahu menarik diri daripada tugas sebagai pengkritik musim ini.

Tempat itu akhirnya diisi produser sensasi David Teo dan Sathiya sekali gus menjadikan Raja Lawak musim ini berkonsep 1Malaysia. Pengenalan mereka yang dibuat dalam bentuk drama tebusan disambut dengan tepukan gemuruh penonton. Namun ada sedikit kepiluan di hati semua apabila menyaksikan `footage' Allahyarham Din Beramboi, juri musim lalu.

Malam itu Man menampilkan lawak yang meniru gaya Eric Leong pakar dekorasi terkenal. Dia menerima komen daripada Aflin Shauki yang memberitahu ada antara lawaknya `masuk' dan ada yang tidak meresap ke jiwa.

Peserta kedua, Lucky menampilkan lawak yang agak mengelirukan dan agak merapu. Sathiya berkata seperti nama mereka, kumpulan itu bernasib baik kerana ada sebahagian penonton terhibur.

Balas yang menjadi peserta ketiga mendapat komen David yang mengatakan lawak mereka mampu menggeletek hati.

Jenaka Sulaiman Ibrahim, 29, pula dilihat juri sebagai membahayakan diri. Dia yang menampilkan konsep Man & Lembu dengan menyentuh isu yang boleh mengundang padah dari segi meraih undian penonton wanita.

"Saya sangat suka `stand up' anda dengan lembu. Tapi satu nasihat saya, susahlah anda nak undian daripada wanita apabila samakan mereka dengan lembu. Awak kena `counter' balik minggu depan," katanya.

Kumpulan R2 berjaya menggamatkan studio dengan lawak bersahaja. Mengambil isu semasa mengenai bola sepak, mereka menerima pujian Sathiya yang turut menggamatkan suasana dengan `nama barunya' sebagai Babyface.

Kumpulan Kami yang menjadi peserta tunggal wanita agak tenggelam kerana menampilkan lawak biasa dan sukar difahami. Tambah lagi mikrofon mereka tidak berfungsi dengan baik sehingga terpaksa dibantu hos Zizan dan Johan.

Suasana yang dilihat hambar akhirnya kembali meriah dengan penampilan Mohd Nazmi Md Isa, 29, yang tampil dengan isu lupa. Ternyata lawak yang ditampilkan berjaya menggeletek hati semua termasuk barisan juri yang tidak henti-henti ketawa. Bahkan perkataan aku lupa yang disebut turut menjadi ajukan Zizan dan Johan.

Kumpulan Bobo, Kopi O, Pukaw dan TBO juga seperti Lucky apabila menampilkan lawak yang biasa-biasa. Seperti dijangka mereka mendapat pertimbangan juri yang memberikan peluang kerana ini minggu pertama. Mereka perlu menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaiknya selepas ini.

Malah tidak salah dikatakan komen Sathiya dan David lebih kelakar daripada persembahan peserta yang bertanding. Seorang lagi peserta solo, Muhammad Hanafi Rusmadi, 18, atau Epy dari Kodiang, Kedah berjaya memberikan persembahan meyakinkan. Aksi kening terangkatnya ketika berlawak menerima sorakan gemuruh dan mendapat komen positif Afdlin.

Pada penghujung program, Sulaiman, Balas dan Lucky menerima padah apabila diumumkan sebagai tiga peserta terendah dan boleh tersingkir. Namun seperti yang dijangka, Afdlin selaku ketua juri memberikan peluang buat mereka untuk terus bertahan.

Mengulas persembahan peserta, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, berkata secara keseluruhan mereka berpuas hati dengan apa yang ditampilkan dan menyerahkan segala keputusan kepada undian penonton.

"Untuk minggu pertama kami buat keputusan tiada penyingkiran. Tapi ini bukan bermakna mereka anggap ini perkara kecil dan ambil lewa. Bermula minggu depan mereka perlu ikut tematema yang ditetapkan.

"Keputusan kami sebulat suara. Memang akan berlaku peserta yang bagus akan tersing kir awal, tapi kami tak boleh buat apa-apa kerana pengundi yang tetapkan," katanya.

Afdlin pula memberitahu, tahun ini banyak peserta yang bagus-bagus seperti Nazmi, Epy, R2 dan Balas.


Oleh Ridzuan Abdul Rahman

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top