Setelah beberapa musim, program yang diperkenalkan Astro itu nyata mempunyai pengikut setianya yang tersendiri sehingga berjaya memasuki musim kelima siarannya.
Bakat yang dilahirkan program Raja Lawak juga berjaya menyerlah. Mereka tidak terbiar mencari hala tuju hidup, sebaliknya rezeki bekas peserta program itu terutamanya peserta musim pertama dan kedua cukup murah.
Lihat di mana Nabil, Zizan, Johan, Angah dan Along berada sekarang? Nabil, Zizan dan Johan masing-masing mempunyai program sendiri di samping kencang menerima tawaran berlakon, sementara Angah dan Along pula kian menjadi pilihan produser filem dan drama tempatan.
Kehadiran mereka dalam arena seni tanah air ternyata diterima ramai. Jika tidak, masakan kelima-lima jejaka ini berjaya menempa nama dalam senarai Top 5 kategori Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010. Buat julung kalinya juga, bekas peserta Raja Lawak memonopoli senarai Top 5 dan secara tidak langsung mengenepikan `otai' lawak yang satu ketika dulu sukar untuk digugat seperti Saiful Apek, Afdlin Shauki, AC Mizal dan juga anggota Senario seperti Azlee, Mazlan Pet Pet dan Wahid.
Walaupun gembira dengan kejayaan mereka `adik-beradik' dalam kategori itu, namun Angah, Johan, Zizan dan Along yang ditemui pada majlis pengumuman calon Top 5, ABPBH baru-baru ini, tidak sesekali mendabik dada sebaliknya akan terus mengagumi dan menyanjungi pelawak berpengalaman.
Apatah lagi, merekalah yang pernah menjadi sumber inspirasi keempat-empat lelaki kelakar berkenaan.
"Walaupun kali ini tiada lagi nama pelawak berpengalaman, bukan bermakna mereka sudah hilang sengat. Kita tidak boleh kata yang lama tidak bagus, kerana tiada yang lama, pastinya tidak ada yang baru," kata Zizan.
Jejaka kelahiran Kuala Terengganu ini sememangnya kini kencang meniti di bibir peminat. Dia disebut-sebut mempunyai peluang cerah untuk merampas trofi berkenaan daripada Nabil, seterusnya berpeluang membawa pulang trofi Bintang Paling Popular.
Namun Zizan yang terus diberi kepercayaan mengendalikan program Raja Lawak bersama Johan berkata, dia akan menangis andai benar dua trofi itu menjadi miliknya.
"Sekiranya saya ditabalkan sebagai Bintang Paling Popular, mungkin yang mampu saya lakukan hanyalah menangis. Saya tidak tahu apa ingin diucapkan kecuali jutaan terima kasih kepada peminat yang memberikan sokongan. Mungkin itu juga petanda saya harus lebih giat berusaha supaya tidak menghampakan hati mereka," katanya.
Bagi rakan gandingannya, Johan, kelima-lima mereka yang disenaraikan ke akhir sebenarnya sudah pun menang. Namun, trofi yang bakal dibawa pulang malam kemuncak yang akan berlangsung pada 3 April nanti di Arena Of Stars, Genting Highlands, dikira sebagai bonus.
"Saya tidak mempunyai kuasa untuk meramalkan siapakah di antara kami berlima yang akan menang. Mungkin Zizan, Along, Angah atau Nabil yang berjaya membawa trofi pulang. Buat masa ini biarlah saya meletakkan diri saya yang paling bawah memandangkan ini pengalaman pertama saya pada ABPBH," katanya.
Along juga berasakan kemunculannya dalam filem Adnan Sempit mula membuka mata peminat. Filem komedi itu muncul antara judul tempatan paling berjaya sepanjang 2010. Selain itu, pembabitannya dalam siri jelajah ABPBH sejak tiga tahun lalu mungkin turut mempengaruhi undian peminat.
"Saya dapat rasakan lakonan dalam Adnan Sempit membantu melonjakkan populariti saya. Pada masa yang sama, saya juga percaya pembabitan dalam siri jelajah ABPBH turut memberi impak terhadap kerjaya saya. Apabila berjumpa dengan orang ramai, secara tak langsung peminat tahu kewujudan saya dalam industri ini.
"Saya juga berasa amat bangga kerana pelawak semakin mendapat tempat dalam filem dan drama. Jika dulu penerbit memberikan kepercayaan kepada pelakon kacak, tetapi kini pelawak tidak hanya sebagai tempelan, tetapi kini kami juga diperlukan untuk menghidupkan cerita," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan