Penasihat: Harun Salim Bachik
Pengarah projek: Yusof Kelana
Pengetua: Zul Huzaimy
Koordinator: Elyas Ismail & Zed Zaidi
Pensyarah tetap: Zul Huzaimy, Rosman Ishak (Aswara), Sharifah Akma Abdullah (Aswara) & Syarifah Mariam Syed Abdullah (Aswara).
Pensyarah jemputan: Elly Suriati. Erma Fatimah & Fauziah Nawi.
Urus setia: Hj Norshah Thamby & Rosilawati Rastam
Zul Huzaimy telah dilantik sebagai pendidik dengan menjadi pengetua sebuah program anjuran Seniman iaitu Rumah Aktor Seniman. Zul Huzaimy akan memulakan tugasan sebagai pengetua Rumah Aktor Seniman bermula 22 Januari ini.
Kursus lakonan selama 13 minggu ini mempunyai persamaan idea dengan beberapa program realiti TV sedia ada seperti Akademi Fantasia, Mari Menari, Mentor dan Satu-Satunya.
Zul berkata, program ini bukanlah diciplak dari mana-mana program realiti TV tetapi dibuat berdasarkan pengalaman dirinya serta tenaga kerja yang lain sebagai penggiat seni terutama sekali pelakon.
"Mungkin angka 13 begitu sinonim dengan program TV. Namun, ia tidak ditiru dari mana-mana rancangan TV. Ia hanyalah tempoh pengajian saja. Dulu masa saya belajar pun, time line ini turut digunakan," ujarnya.
Zul menjelaskan pemilihan 30 peserta telah pun dibuat dengan mengadakan uji bakat baru-baru ini. Hasil uji bakat itu, Zul memberitahu pelakon baru yang sudah banyak berlakon iaitu Syed Ali turut menjadi salah seorang peserta untuk kursus yang dianjurkan buat julung kalinya ini.
"Dulu, sebelum saya menyertai Akademi Seni Kebangsaan (ASK), saya perlu menjalani uji bakat dan diuji dengan cara monolog 5 rasa. Method inilah yang saja gunakan untuk uji bakat peserta program ini. Pun begitu, saya dapati kebanyakan dari mereka agak malu dan segan-segan.
"Ada juga peserta yang tak perasan bahawa mereka ada sesuatu dan kami mengambilnya untuk mencungkil bakat yang mereka sendiri tidak nampak. Sebagai contoh Syed Ali. Dia banyak berlakon tetapi dia tak perasan bahawa dia ada sesuatu yang menarik perlu dikeluarkan. Kelemahan yang ada pada mereka akan diasah dalam program ini.
"Kebanyakkan mereka dipilih disebabkan bakat, semangat dan kemahuan serta bijak berfikir. Untuk menyertai kursus ini, peserta perlu membayar yuran agar mereka ada komitmen untuk menghadirkan kelas yang diadakan setiap Sabtu di Laman Budaya dan Aswara," jelasnya.
Bercakap mengenai yuran program ini, Zul turut memperkatakan bahawa pihak penganjur bukan sengaja mahu mengenakan bayaran demi mengaut keuntungan.
"Kami tak buat secara percuma. Yurannya adalah RM550 seorang. Bila kursus dibuat secara percuma, sikap nak tak nak datang kelas mesti ada. Jadi dengan adanya yuran ia sedikit sebanyak membuatkan mereka berfikir dengan komited untuk datang ke kelas.
"Program ini tidak khusus pada setengah peringkat saja. Peserta paling muda yang kami terima berumur 14 tahun dan yang paling senior pula berumur 32 tahun. Anak pelakon Rosnah Johari pun ada menyertainya," katanya.
Sementara itu, Zul menafikan kursus ini sebagai jaminan untuk mereka menjadi pelakon utama filem atau pun drama. Namun, ia adalah sasaran pihak penganjur ke arah itu.
"Itu target saya. Saya akan mantapkan mereka dengan melakonkan watak dengan lebih berkesan. Nak jadi pelakon utama itu semuanya tertakluk kepada rezeki dan populariti. Saya nak tumpukan mereka menjadi pelakon yang berilmu.
"Sebagi produser filem dan drama, mereka akan memikirkan untung rugi. Kehadiran saya di sini hanya sebagai membuka ruang kepada peserta saja. InsyaAllah, nanti akan ada produksi yang buka mata terhadap mereka.
"Sekali lagi, saya mahu jadikan mereka berilmu. Biarlah populariti datang kemudian.Lakonan bukanlah populiriti saja. Saya akan pastikan mereka bukan menjadi sekadar pelakon tambahan saja," terang Zul.
0 ulasan:
Catat Ulasan