Bakat seni sandaran Wawa
Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR
|
TIGA tonggak utama drama Ana Lu'lu (Dari kiri: Wawa Zainal, Sharifah Shakinah dan Nora Danish. |
Cantik ke saya?" Itulah soalan yang diajukan oleh bakat baru MIG Talent , Wawa Zainal ketika diusik Hits yang melihat kecantikan wajahnya ketika pertama kali bertemu. Ramai beranggapan mungkin wajahnya dijadikan sandaran untuk bersaing dalam industri lakonan tanah air.
Sepantas kilat Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin menegaskan, kehadirannya dalam dunia hiburan bukan kerana menjual rupa. Jauh sekali bermodalkan wajah dan kulit putih gebu untuk mencuri tawaran dan sekali gus, dijadikan tiket untuk dia berjaya dalam bidang lakonan.
Anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu secara tulus memberitahu, dia tidak pernah merasakan bahawa dirinya cantik sehingga menenggelamkan bakat seni yang ada dalam dirinya.
Baginya, biarlah orang berpandangan skeptikal terutamanya terhadap bakat baru tetapiWawa memberitahu, kehadirannya untuk menjadi pelakon adalah kerana minat yang mendalam.
Menjadikan aktres Erra Fazira, Nurkiriah dan aktor, Que Haidar sebagai idolanya, anak kelapan dari 11 adik-beradik itu tekad mengatur langkah untuk menggapai impian yang tersemat di sanubari.
"Saya serius ketika membuat keputusan untuk menjadi pelakon biarpun sedar cabarannya bukan mudah, tetapi disebabkan minat saya bulatkan hati ini untuk kejar cita-cita.
"Saya tidak mahu orang mengenali saya kerana rupa paras semata-mata kerana itu sekali-kali tidak akan menjamin kejayaan dalam bidang seni.
"Biar apa pun, saya mahu orang kenal diri saya melalui bakat dan karakter lakonan kerana itulah yang akan memberikan kepuasan kepada saya,” jelas pelakon yang akan tampil dengan Hantu Dalam Botol Kicap ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah pelakon yang bergandingan dengan Nora Danish dalam drama Ana Lu’lu itu, kehadirannya dalam industri hiburan bermula selepas dia menghantar profil kepada produksi MIG untuk mencuba nasib sebagai artis di bawah syarikat milik David Teo itu.
Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, impiannya untuk menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya mula bersinar apabila percubaan pertamanya berjaya menarik perhatian pihak MIG.
Jelasnya lagi, tindakan menghantar profile sekadar mencuba nasib sewaktu bercuti di Kuala Lumpur sekitar hujung tahun lepas.
"Tak sangka pula saya dipanggil untuk sesi uji bakat.
"Alhamdulillah selepas itu, saya ditawarkan kontrak untuk menjadi artis mereka. Sekarang ini saya perlu bekerja keras untuk memantapkan lagti mutu lakonan," ujarnya yang baru berusia 19 tahun.
Mengimbau kembali bagaimana dia boleh meminati bidang lakonan, kata Wawa, minat itu timbul sejak dibangku sekolah.
"Nama sekolah saya ialah St. Dominic. Waktu tu saya sering mengambil bahagian jika ada pementasan mahu pun pertandingan.
"Saya pernah mewakili sekolah dalam pementasan drama peringkat sekolah-sekolah dan pernah bergelar pelakon terbaik ketika berada dalam tingkatan empat.
"Dari situ saya bersemangat untuk mengasah bakat lakonan dan saya gembira kerana impian saya menjadi kenyataan," ujarnya.
Watak idaman
Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, Wawa tidak takut untuk menyatakan watak yang menjadi idamannya.
Dia begitu teringin untuk melakonkan watak psiko atau gila kerana baginya, watak berat seperti itu akan menguji sejauh mana kemampuannya untuk bergelar pelakon.
"Ini bukan soal memilih watak kerana saya tidak pernah meletakan kriteria kepada mana-mana tawaran yang diberikan.
"Cukup dengan sekadar plot dan skrip yang kuat dan hasil lakonan saya pula mampu meninggalkan kesan di hati penonton.
"Namun dalam usaha untuk mencabar kredibiliti saya juga mahu mencuba untuk membawakan watak seorang penagih.
"Watak-watak yang saya nyatakan tadi memerlukan seseorang pelakon itu membuat kajian supaya lakonan yang dipersembahkan itu nanti dapat menyentuh hati dan perasaan penonton,"katanya.
Bagi diri Wawa, watak air mata juga ingin dicubanya bukan kerana mahu merebut gelaran sebagai 'pelakon air mata'.
"Mungkin lakonan yang menyedihkan boleh membuatkan penonton menitiskan air mata.
"Maka itu, jika saya diberikan watak seberat ini, saya pasti tidak akan menolaknya," katanya penuh yakin.
Di waktu senggang, Wawa banyak menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen.
Tidak kira sama ada menonton drama atau filem yang ditayangkan di kaca televisyen.
Baginya, dengan cara itu, secara tidak langsung, dia dapat belajar cara sesuatu watak itu dilakonkan.
"Sebenarnya, banyak cara untuk kita belajar memperbaiki lakonan. Salah satunya ialah dengan melihat pelakon lain menjiwai karakter yang diberikan.
"Cara itu bukan bermakna saya meniru lakonan orang lain tetapi belajar melalui pemantauan," katanya.
Wawa mengakui, dia sering berlatih di hadapan cermin untuk melihat ekspresi yang dilahirkannya itu betul atau salah.
"Apabila skrip berada di tangan dan saya membaca watak yang perlu saya lakonkan, saya akan berdiri di hadapan cermin untuk berlatih.
"Tidak kisahlah kalau nampak macam orang kurang siuman kerana bercakap seorang di hadapan cermin.
"Adakalanya, aksi saya itu membuatkan abang dan kakak saya mentertawakan saya.
"Mungkin bagi mereka, saya macam orang gila tetapi bagi saya, itu cara untuk membaiki ekspresi dan menghidupkan karakter.
"Namun begitu, abang dan kakak saya tidak pernah mematahkan semangat saya untuk menjadi seorang pelakon yang disegani ramai.
"Mereka sering memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus maju dalam dunia lakonan.
"Apa yang paling saya suka ialah apabila mereka memberikan komen.
"Komen yang keluar dari mulut abang dan kakak saya adalah ikhlas dan tidak berniat untuk mengutuk saya.
"Mungkin orang lain hanya akan memuji kerana mahu menjaga hati saya.
"Kalau puji secara sembrono, mana mungkin saya tahu kesilapan dan secara tidak langsung, mutu lakonan saya akan jadi statik.
"Saya tahu lakonan saya banyak kelemahan dan setiap kelemahan itu perlu diperbaiki.
"Tegurlah secara ikhlas demi kebaikan dan perkembangan lakonan saya," katanya merendah diri.
0 ulasan:
Catat Ulasan