Filem Bujang Terlajak... Belum Terlanjur, arahan A. Razak Mohaideen, mencatat kutipan kasar sebanyak RM 2 juta setelah lima hari tayangannya. Namun ada yang menganggap filem itu menghina golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagi mereka yang telah menonton filem berkenaan, kehadiran tiga watak utama dalam filem itu yang sanggup buat apa sahaja dengan menyamar sebagai orang pekak, bisu dan buta semata-mata untuk memikat seorang gadis mampu menyinggung perasaan golongan OKU.

Betapa tidak, kerana ingin merebut hati seorang gadis, mereka sanggup buat apa sahaja perkara bodoh yang mereka anggap lucu tetapi sebenarnya secara tidak langsung memperkecilkan OKU.

Pengarah filem berkenaan, Prof. Razak Mohaideen ketika ditanya mengenai isu berkenaan menegaskan;

“Jika begitu pandangan mereka, mereka adalah golongan yang pandai bercakap tetapi mempunyai IQ yang rendah. Mereka tidak tahu nilai sebenar filem baru saya itu.”

Katanya, filem tersebut sebenarnya mengangkat dan mengagung-agungkan golongan tersebut dengan hadirnya watak ayah kepada Puteri yang buta lakonan Mustapha Kamal.

“Saya gambarkan watak ayah dalam filem ini sebagai bukti bahawa OKU adalah golongan yang sangat suci dan berwawasan.

“Meskipun hidup dalam serba kekurangan dan kecacatan namun dia mampu mendidik dan menjaga keluarganya sehingga berjaya.

“Disebabkan itulah, Puteri (Fazura) hanya mahu berkahwin dengan OKU kerana kekurangan ayahnya tidak menghalang dia berjaya.

Filem Bujang Terlajak... Belum Terlanjur

“Kalau ada orang cakap filem ini menghina golongan OKU, itu tidak benar sama sekali,” jelasnya .

Tambahnya, ketika ini sambutan terhadap filemnya itu amat membanggakan, ditambah dengan cuti sekolah baru-baru ini.

“Kutipan semakin meningkat, saya anggarkan secara kasarnya telah mencecah RM 2 juta, itu adalah angka yang cukup besar.

“Filem Melayu yang ditayangkan sebelum ini tidak mencapai angka itu dalam tempoh tayangan selama lima hari,” katanya.

Bujang Telajak...Belum Terlanjur merupakan sebuah filem komedi arahan Razak yang mengisahkan tentang tiga orang rakan karib Saiful, Nabil dan Johan. Ketika sedang menjalani penggambaran sebuah iklan, mereka telah terpesona dengan kecantikan model di dalam iklan tersebut iaitu Puteri (Fazura).

Tiga sekawan itu mengekori Puteri sehingga mereka mendapat tahu latar belakang dan pekerjaan Puteri yang merupakan seorang guru tadika dan model sambilan.

Bagi mengenali Puteri dengan lebih rapat, Saiful mencungkil rahsia daripada ayah Puteri yang buta, Haji Hashim.

Melalui bapa Puteri, mereka mendapat tahu Puteri hanya akan berkahwin dengan OKU kerana percaya dia akan mendapat cinta sejati sepertimana ibunya.

Bermula dari itulah, Saiful mula menyamar sebagai orang buta untuk memikat hati Puteri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top