Busuk tagline Sheila Rusly

Perkataan busuk yang digunakan dalam RJL6 memang kontroversi. Ramai yang tidak boleh menerimanya kerana dianggap tidak sopan, apa komen Sheila?

Saya tahu. Bahkan saya dah boleh agak akan ada wartawan yang cari saya untuk tanya pasal isu ini. Tapi saya tak ambil peduli apa pun orang cakap. Yang saya tahu, saya buat kerja saya sahaja. Baik surat khabar atau blog di Internet yang tulis pasal isu ini, langsung saya tak tengok dan baca. Saya tak nak komen-komen negatif mereka ini mengganggu cara saya bekerja sebagai juri RJL6.

Kenapa mesti busuk? Tidak adakah perkataan lain yang lebih sesuai boleh digunakan?

Kalau tak busuk apa? Cuba bagi idea pada saya perkataan apa yang sesuai nak digantikan dengan perkataan busuk tu? Busuk itu bukan satu penghinaan atau kutukan malah ia juga bukan perkataan yang kotor. Tidak terniat di hati saya untuk menjatuhkan peserta-peserta dengan menyamakan persembahan yang tak menarik sebagai busuk.


Kalau begitu cuba huraikan apa definisi busuk yang dimaksudkan oleh Sheila. Mungkin orang lain tak faham apa yang Sheila cuba sampaikan melainkan Sheila seorang sahaja yang faham.

Bagi saya, busuk itu masih lagi bahasa berlapik yang saya gunakan. Cuba bayangkan kalau saya cakap persembahan mereka teruk, tak ada kualiti, apa perasaan para peserta? Saya kata busuk sebab tak mahu peserta RJL beri persembahan yang lapuk dan basi. Kita dah masuk era baru. Lawak kena ada kualiti. Kalau saya tak beri komen yang jujur dan ikhlas, adakah peserta akan berusaha untuk bangkit dan memberikan persembahan terbaik? Lagipun, saya sebut perkataan busuk itu dalam nada yang lembut. Bukan nada macam nak hentam peserta. Apa masalahnya?

Jadi untuk beri motivasi kepada peserta, Sheila kena guna perkataan busuk? Begitu?

Habis tu nak guna perkataan apa? Saya mahu semua orang faham apa yang saya buat ini adalah demi kebaikan. Kalau saya beri komen yang biasa-biasa sahaja, peserta tak akan tahu apa salah mereka yang perlu dibetulkan. Niat saya nak melahirkan pelawak yang bermutu dan berpotensi. Kalau saya asyik puji saja, nanti orang akan ‘membusukkan’ saya? Tak lawak dikata lawak. Tak patutlah kan. Saya tak mahu jadi hipokrit.

Tak rasa pelik ke bila orang pandang kesalahan Sheila sahaja selaku juri?

Ada juga rasa hairan. Rasanya, kalau David Teoh atau Sathia yang sebut perkataan busuk benda ini tak akan jadi isu bukan? Jadi kenapa bila Sheila Rusly sebut, orang jadikan ia isu? Padahal tujuan saya baik. Saya kena beri komen tegas pada peserta sebab banyak lagi yang mereka perlu belajar.

Sebelum ini, ada juri yang bergaduh kerana isu tak puas hati dalam laman sosial Facebook dan sebagainya. Ada juga yang kata tak mustahil Sheila Rusly juga akan buat perkara serupa. Komen?

Saya lain dan mereka lain. Lain cikgu, lain didikannya. Lain juri, lain komennya. Busuk itu tagline saya dan terpulang bagaimana cara saya komen. Tak perlu nak rujuk juri-juri terdahulu atau bagaimana. Bagi saya, apa jua komen yang saya beri, baik atau busuk, habis di situ, di situ saja. Tak payah nak bawa sampai ke Facebook dan sebagainya. Peserta RJL6 dah macam adik-adik saya. Jadi bila saya beri komen, mereka faham. Kalau ada penonton tak suka, saya minta maaf. Saya cuma jalankan tanggungjawab.

~ MM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top