Pilih Kasih 3 yang terakhir

"Saya sudah penat sebenarnya. Lagi pun kalau buat terlalu banyak musim, saya risau ia akan menjadi lebih teruk."

Itu yang diucapkan oleh Rosyam Nor apabila mengulas mengenai rancangan Pilih Kasih yang akan ditamatkan penganjurannya selepas musim ketiga (PK3) nanti.

Musim terakhir rancangan yang mencari bakat dalam dunia lakonan itu akan mula bersiaran mulai 5 Februari ini di TV2.

Mengambil iktibar daripada beberapa rancangan realiti televisyen yang semakin tidak menjadi apabila musim bertambah, Rosyam mengambil langkah selamat dengan menamatkan rancangan yang turut mendapat tajaan Telekom Malaysia (TM).

"Saya tidak mahu jika ia diteruskan, hasilnya tidak memuaskan dan jadi 'hancur' pula.

"Selain itu, faktor masa turut mempengaruhi keputusan saya. Bukan mudah untuk buat rancangan seperti ini," ujarnya yang kini turut sibuk menjalani penggambaran KL Gangster 2.

Ditebak mengenai segelintir peserta rancangan tersebut yang cuba menyertai rancangan realiti televisyen lain, Rosyam berkata, dia terbuka dengan perkara tersebut.

"Bagi saya, ia bukanlah satu masalah kerana rezeki terdapat di mana-mana.

"Pentas Pilih Kasih merupakan platform kepada para peserta untuk belajar dan dalam masa yang sama mencungkil bakat yang sedia ada dalam diri mereka.

"Jika mereka pandai untuk membawa diri selepas rancangan ini tamat, maka mereka akan berjaya.

"Saya tidak boleh berjanji dan memberi jaminan kesemua peserta yang menyertai pertandingan bakal menjadi popular," jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar di Subang Jaya baru-baru ini.

Selain itu, menurut Rosyam, rancangan yang mencungkil bakat peserta dalam bidang lakonan itu juga tidak akan menyingkirkan peserta untuk dua minggu pertama.

Pendekatan yang di ambil ini adalah untuk memberi peluang kepada para peserta menyesuaikan diri dengan pentas.

"Malah ini juga merupakan pengajaran yang kami pelajari daripada musim sebelumnya.

"Tetapi janganlah pula berasa terlalu selesa. Yang pasti, saya akan tetap bagi tekanan kepada mereka yang berada di tangga paling bawah," katanya.

Mengharapkan yang terbaik untuk musim ini, Rosyam juga mahukan setiap peserta mempunyai karakter tersendiri dan tidak dibayangi oleh pelakon-pelakon sedia ada.

"Saya tidak mahu ada Rosyam Nor yang kedua, klon Erra Fazira atau Umie Aida.

"Mereka harus ada karakter sendiri dan mampu menyerlah. Gunakanlah sebaik-baiknya peluang yang sedia ada dan manfaatkanlah latihan yang mereka pelajari," tegas pelakon dan penerbit serba boleh itu.

PK3 juga masih mengekalkan Dr. Abu Hassan Hasbollah dan Fauziah Nawi sebagai pengkritik tetap.

Menariknya kali ini apabila ia turut menampilkan Erra Fazira dan Umie Aida selaku penasihat kepada Rosyam terutama untuk sesi penyingkiran peserta sewaktu siaran langsung Pentas Pilih Kasih.

Pilih Kasih bersiaran secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan dan masih mengekalkan Reza Mohammed sebagai pengacara.

Kisah Pilih Kasih yang disiarkan setiap hari Rabu dan Khamis telah mula disiarkan pada 25 Januari lalu di TV2, pada pukul 9 malam.

Pilih Kasih 3

Manakala program baru, Zooom Pilih Kasih yang disiarkan setiap hari Sabtu juga sudah bersiaran pada 28 Januari lalu pada waktu dan saluran yang sama.

Selain Ai Iqmal, 18 yang berasal dari Negeri Sembilan sebagai peserta paling muda, peserta lain ialah Naqia Nasution, Sura Sojangi, Hiera Hasan, Reen Rahim, Miza Azura dan Theera Alias.

Turut terpilih Yizee Ariff, Nizen Ayob, Aada Zara serta Airil Reffa.

Selain itu, peserta daripada Borneo diwakili oleh Fareth Agang, Jalius Jaibin, Heri Aszmo dan Marina Jose.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top