Lagu yang dipertandingkan Najwa Latiff dalam AJL26 iaitu Cinta Muka Buku diragui kekuatannya dengan melihat kepada lagu serta liriknya yang mudah, ringan dan biasa saja berbanding 11 lagu lain seperti Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain, Kalau Berpacaran (Sohaimi Mior Hassan, Anna Rafali & Altimet), Beribu Sesalan dan lain-lain.

Walaupun sebegitu,Najwa Latiff sedikit pun tidak goyah dengan kritikan seperti itu kerana baginya, setiap pendengar mempunyai pendapat masing-masing untuk menilai sesebuah karya seni itu.

“Saya terima semua komen itu sebagai positif dan pada masa sama juga memperbaiki diri serta karya saya. Saya percaya setiap individu mempunyai pendapat berbeza. Perihal mempersoalkan lagu itu, ia tidak membuatkan saya patah semangat.

“Saya pun tak sangka lagu Cinta Muka Buku dipilih layak ke final. Sebalik itu, pengalaman ini adalah satu yang seronok bagi saya kerana dapat berkongsi pentas dengan barisan penyanyi yang hebat-hebat belaka. Dengan usia saya yang baru 17 tahun ini, saya sudah ada pengalaman untuk berkongsi pentas dengan penyanyi senior dan ini membuatkan saya sangat gembira,” katanya.
Najwa berpendapat kekuatan lagu Cinta Muka Buku pada lirik yang mudah difahami dan senang dihafal walaupun hanya sekali dengar.

Najwa Latiff

Penulis lirik lagu itu iaitu kakaknya, Ika turut berbangga dengan kejayaan adiknya serta lagu ciptaan mereka itu. Bagi Ika, mereka sama sekali tidak sedih serta patah semangat dengan kritikan orang ramai, malah lebih bersyukur dengan peluang yang diterima untuk beraksi di atas pentas yang berprestij itu nanti.

“Sejujurnya, saya dan Najwa iaitu sebagai pencipta serta penulis lagu Cinta Muka Buku sentiasa berbangga dengan karya kami yang tersendiri. Orang ramai boleh memberi komen apa saja dan kami mengambil ia sebagai pendorong untuk terus berkarya. Kami akan buktikan pada orang ramai bahawa lagu itu juga layak untuk bertanding, sekali gus dihormati ramai.

“Pada mulanya pun, kami mencipta lagu ini untuk suka-suka, tapi akhirnya layak dipertandingkan sehingga ke final. Ini membuatkan kami rasa sangat teruja untuk beraksi,” tambahnya.

Bercakap mengenai persiapan pula, Najwa dan Ika itu akui mereka tidak banyak melakukan persiapan buat masa ini kerana Najwa sendiri sibuk dengan kelas tuisyen dan rutinnya sebagai pelajar sekolah.

Persiapan untuk persembahan pada malam itu tidak banyak dibincangkan lagi, tapi sekarang mereka sedang mengusahakan pakaian yang akan dipakai oleh Najwa nanti.

Tiada gimik yang besar-besaran akan dilakukan nanti dan pembawaan lagu tidak banyak lari dari yang asal, tapi semestinya Najwa menjanjikan persembahannya yang terbaik.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top