Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 43, baru-baru ini mengejutkan dunia hiburan dengan membuat pendedahan dia sakit teruk akibat perbuatan santau pihak tertentu.
"Ada beberapa orang yang cakap kepada saya supaya hantar semula benda itu kepada tuannya tetapi bagi saya, tidak perlulah kita berbuat demikian.
"Saya tidak berdendam, saya maafkan orang itu dan mengucapkan terima kasih banyak kepadanya," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Pertauliahan Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) di sini hari ini.
Menurut Awie, dia kini masih dalam proses rawatan kerana belum sembuh sepenuhnya.
"Saya masih muntah-muntah. Saya hairan kerana saya tidak nampak perkara itu tetapi ia sememangnya berlaku.
"Salah seorang pengamal perubatan Islam yang saya temui memberitahu, apa yang saya alami agak keras. Bagaimanapun, saya masih berusaha dan meminta peminat mendoakan yang terbaik," katanya
Awie yang mula mencipta nama sebagai penyanyi dengan Kumpulan Wings sekitar penghujung tahun 1980-an berkata, masalah kesihatan yang dialaminya itu memang menyukarkan aktiviti hariannya.
"Pernafasan saya sering terganggu dan menghadapi masalah untuk menyanyi. Kalau hendak menyanyi atau membuat persembahan pentas, saya betul-betul kena kuat semangat," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan