Ulasan filem The Awakening
Sebuah filem seram bertajuk The Awakening ini pastinya akan memberikan anda satu kekeliruan yang pasti kerana tajuknya. Tajuk yang banyak digunakan baik dari segi tajuk filem, drama, album, tajuk lagu dan banyak lagi ini pastinya akan membuatkan anda terkeliru sebentar.

Namun untuk menghapuskan kekeliruan itu, rebiu filem yang akan kami bawakan kali ini adalah bertajuk, The Awakening yang mengisahkan mengenai filem seram British untuk tahun 2012 ini. Mungkin pasaran di United Kingdom telah dimulakan pada penghujung tahun 2011, namun tayangan di Malaysia telah bermula sejak 5 Januari 2012 yang lalu.

Filem British lakonan Rebecca Hall, Dominic West, Imelda Staunton dan ramai lagi ini merupakan sebuah filem yang mempunyai bayangan tajuk dengan latar gelap yang tersendiri. Namun, seram yang ingin dibawakan ini sebenarnya mempunyai misi dan visi yang tersendiri.

Filem arahan Nick Murphy ini menggunakan latar pada tahun selepas Perang Dunia pertama, tahun 1921 di England. Di mana, seorang pemburu entity yang dikenali dengan kepandiannya yang juga merupakan seorang wanita yang berpendidikan tinggi pada zaman itu, Florence Cathcart telah diminta tolong untuk pergi membantu menyelesaikan misi kemunculan hantu di sebuah sekolah asrama lama.

Di dalam pencariannya itu, Cathcart telah melihat pelbagai kejadian yang membawanya ke satu dimensi yang lain. Manusia moden yang percayakan fakta dan juga ilmu sains berbanding cerita tradisional kepercayan manusia dengan pemikiran ortodoks, Cathcart sendiri tidak percayakan kewujudan hantu. Dia tahu, segalanya yang berlaku adalah disebabkan oleh tindak balas sains dan juga akibat dari perbuatan manusia sendiri. Tiada kaitan dengan kewujudan hantu atau apa-apa misteri alam yang lain. Apabila seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan penghuni asrama lama itu meninggal dunia, yang lain juga bimbang bahawa mereka juga akan menjadi mangsa.

Maka, setelah Cathcart tiba, sekolah itu ditutup dan hanya tinggal seorang kanak-kanak lelaki, Tom yang terpaksa ditinggalkan di situ bersama dengan penjaga asrama itu, Maud. Selain Maud, Robert yang penuh dengan misteri itu juga tinggal bersama untuk menyelesaikan masalah ini.

Di dalam pencarian itu, Cathcart telah berjumpa dengan perlbagai jenis misteri yang sedikit sebanyak dapat menerangkan kewujudan hantu yang seriang digembar gemburkan selain dari menyelesaikan misteri kematian kanak-kanak lelaki itu. Namun, ada sisa dan juga kisah kehidupan yang tertinggal di sebalik misteri yang semakin dirungkai, semakin banyak menimbulkan persoalan tentang mengapa Cathcart ada di di situ. Apa kaitan rumah itu, kenangan lama Cathcart sebelum menjadi anak angkat pada keluarga lain, dan siapakah Tom yang sering menjadi satu bayangan buat dirinya cuba dia rungkaikan.

Apakah Cathcart dapat membuktikan yang hantu itu tidak wujud, atau mungkin dia perlu terima hakikat dan hidup dalam ketakutan kerana kewujudan hantu atau mungkin ada cerita di sebalik kejadian ini? Sila saksikan kisah yang tidaklah menyeramkan ini di pawagam.

Apa yang boleh dikatakan untuk filem seram yang cuba sedaya upaya untuk menampilkan imej seram di sepanjang cerita ini tidaklah menyeramkan sangat. Ini kerana, pengakhiran cerita ini sebenarnya tidak punyai kaitan langsung dengan cerita entiti yang wujud untuk membalas dendam kepada manusia dan sebagainya. Tidak sama dengan plot penceritaan filem seram yang lain, lari sedikit dari kadar kenormalan filem seram Inggeris, filem The Awakening ini mempunyai misinya yang tersendiri.

Ulasan Filem The Awakening

Dimulakan dengan mukhadimah yang menyeramkan, kemudian diselesaikan misi itu dengan bukti bantuan kukuh fakta sains kepercayaan watak utama merupakan satu langkah permulaan baik cacat buat peminat tegar filem seram. Kerana, di awal cerita, filem ini telah dimulakan dengan langkah seram yang terbaik, namun, dimatikan dengan bukti penemuan yang mengurangkan termometer ketakutan yang ada. Mencacatkan emosi penonton dengan gangguan fakta yang tidak perlu, itulah kesilapan utama pengarah yang perlu disingkirkan terus dari dalam filem ini.

Selepas itu, satu lagi misteri dirungkai dengan menggunakan fakta sains yang menjadi satu kekaguman buat masyarakat dengan latar masa pada awal tahun 1920-an itu. Namun, kekaguman kita melihat si pengarah seni filem ini nampak gigih melakukan kerjanya. Eduard Grau telah melakukan satu penghasilan yang nampak cantik di skrin dengan olahan warna yang telah ditetapkan sebagai suram atau dull ini.

Lakonan watak utama filem ini, seorang wanita yang sebelum ini juga sinonim dengan filem misteri dan seram ini telah membawakan wataknya dengan baik sekali. Kewujudan Rebecca Hall di dalam filem ini selaku Florence Cathcart juga merupakan salah satu bukti kejayaan filem ini di dalam merebut perhatian penonton dari mula hingga ke akhirnya.

Pengakhiran cerita ini yang telah diputarkan ke paksi 180° ini telah membawa kita ke satu simpang penyelesaian yang tidak membosankan. Filem ini telah membawa satu penyelesaian yang akan membuatkan anda menerima filem ini seadanya namun masih lagi tidak membawa bayangan seram hantu yang bukan-bukan. Satu kejayaan buat pengarah yang berjaya meletakkan imej seram dari mula hingga ke akhir dengan detik cemas, suspens dan menakutkan dengan kadar yang tidak terlalu ekstrem.

Kisah di sebalik kisah yang terselindung dengan memori zaman silam yang kian luput, dikembalikan dalam sekelip mata. Jika anda rasakan menarik, saksikanlah filem ini di pawagam dan temui penyelesaiannya yang tersendiri jika anda ingikan kepastian yang lanjut.

Ulasan Liza Ramli
Sinar Harian


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top