Aktres veteran popular, Azean Irdawaty, 62, menyifatkan khabar angin yang disebarkan menerusi twitter mengenai kematiannya hanya salah faham, malah sedia memaafkan pihak yang menyebarkan berita berkenaan. Walaupun terkejut sebaik dihubungi beberapa wakil media yang inginkan kepastian, pelakon yang kini menjalani rawatan di rumah tidak melatah, sebaliknya menganggap individu yang memulakan berita pemergiannya hanya tersilap dengar.


“Terima kasih di atas keprihatinan ramai terhadap berita palsu ‘kepulangan’ saya. Mungkin orang itu keliru antara saya dengan Allahyarham Izwan Pilus yang kembali ke rahmatullah. Dengan niat baik dia ingin berkongsi khabar ini kepada semua. Apa pun sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada membuat kesilapan dan saya memaafkan individu terbabit, selain mendoakan Allah memberinya hidayah,” katanya yang mesra membahasakan diri sebagai Kak Yan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar, semalam.

Berita palsu itu disebarkan sekitar jam 11 pagi hari yang sama di twitter yang dikatakan dimulakan seorang peminat, sekali gus menimbulkan kegemparan di kalangan penggiat industri hiburan yang memberikan maklum balas di laman sosial sama.

Terdahulu, Azean yang menghidap barah tulang belakang menjalani rawatan di rumah dengan pemantauan jururawat terlatih, malah difahamkan kanser yang sudah melarat ke tulang dan penyakit Lymphedema membuatkan pergerakannya terbatas.

Namun daripada penjelasannya, kesihatan beliau kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu berdiri dan bertatih beberapa minit berbanding sebelum ini yang hanya terlantar di katil.

“Alhamdulillah, keadaan saya sudah beransur pulih. Walaupun agak lambat, saya sudah boleh berdiri dan paling menggembirakan kini mampu bertatih di sekeliling katil dengan bantuan jururawat.

“Doakanlah saya cepat sembuh kerana saya perlu bekerja semula untuk teruskan kehidupan. Sampaikan salam ikhlas saya untuk semua,”

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top