Malam ini, peminat akan dapat menyaksikan penobatan juara baru bagi program Raja Lawak, apabila ia disiarkan secara langsung menerusi Astro Warna dan Mustika HD, mulai jam 10 malam.

Pertandingan akhir bagi musim ketujuh ini diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam.

Sejak dianjurkan mulai 2007, program yang pernah menemui penonton menerusi saluran Ria dan Prima itu sudah pun menyaksikan peserta seperti Yus, Nabil, kumpulan Sepah, kumpulan Kecik, Man dan kumpulan Shiro bergelar pemenangnya.


Malah, ia turut melahirkan beberapa lagi nama yang kian meniti bibir peminat seperti Zizan, Johan, Angah, Tauke, Along, Azrul, Jihan dan Epy. Masing-masing menjadikan program terbabit sebagai medan untuk meneruskan langkah dalam bidang seni, seterusnya memeriahkan lagi dunia hiburan tanah air.

Pada musim terbaru ini, saingan final menyaksikan pertarungan empat kumpulan terdiri daripada Bora dari Singapura, Sakan (Kedah / Perlis), Wala (Sabah) dan Gamat (Perak).

Sejarah tercipta?

Apakah kali ini sejarah bakal tercipta sekiranya kumpulan dari seberang tambak, Bora, yang terdiri daripada Muhammad Abdul Rahim Shah, Muhammad Hanafiah Azman dan Muhammad Isa Jaafar muncul juara? Inilah juga musim pertama menyaksikan program berkenaan membuka pintu buat peserta dari luar Malaysia.

Segala-galanya hanya terjawab apabila peminat selesai menghantar undian mereka. Seperti biasa, penentuan juara diserahkan sepenuhnya kepada peminat yang memilih peserta kegemaran mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Bagaimanapun, tentunya kumpulan Sakan juga tidak akan membiarkan trofi kejuaraan terlepas daripada tangan mereka begitu saja tanpa memberikan persembahan memberangsangkan demi memancing perhatian khalayak, sebaik saja pentas akhir dibuka.

Maklum saja, masing-masing sedar, hanya beberapa langkah saja lagi sebelum juara muktamad musim baru ini akan diumumkan, selepas berminggu-minggu mereka mencurahkan tenaga menghiburkan peminat dan juri. Justeru, semua peserta termasuk Wala dan Gamat tidak terkecuali mengidamkan trofi utama.

Diacarakan oleh Johan dan Zizan, dengan barisan juri terdiri daripada Datuk AC Mizal, Isma Aliff dan Saiful Apek, pertandingan akhir Raja Lawak musim ketujuh pastinya akan memecahkan perut penonton apabila ia disiarkan mulai jam 10 malam ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top