Juara Akademi Fantasia Musim 2, Zahid Baharuddin,32, dan kekasih hatinya Sarah Julifa Isa kini sah bergelar suami isteri.

Zahid dan Sarah telah selamat diijabkabulkan di Masjid Besar Teluk Intan, kira-kira jam 3.35 petang tadi (Jumaat).

Dengan hanya sekali lafaz, penyampai radio ERA ini cukup tenang ketika dinikahkan oleh Tuan Hj Jaafar Hj Puteh bersaksikan Hj Abdullah Endut serta Hashim Mat Jain daripada keluarga belah pihak perempuan.

Pada majlis tersebut, rombongan pihak lelaki menyerahkan wang hantaran sebanyak RM15,000 dengan mas kahwin RM101 beserta 9 dulang hantaran berbalas 11 dulang hantaran daripada pihak pengantin perempuan.

Zahid dan Sarah anggun dalam busana rekaan Cosry rona putih yang sedondon. Lebih manis lagi apabila Zahid menyarungkan cincin emas putih bertatah berlian ke jari manis isterinya selain turut memakaikan seutas gelang tangan pada upacara membatalkan air sembahyang.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di rumah pengantin perempuan di Teluk Intan pada 8 Jun, esok (Sabtu). Majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki juga akan berlangsung di Teluk Intan, pada 15 Jun juga ini.

Pasangan ini mula berkenalan di laman Twitter dan kemudian memutuskan untuk berkahwin. Menariknya, sepanjang perkenalan Zahid yang kini menjadi penyampai radio Era sepenuh masa, tidak pernah mengetahui bahawa Sarah Julifa bekerja di bawah satu bumbung dengannya iaitu di Astro.

Sebelum ini, penyampai radio Era FM itu pernah dilaporkan menjalin hubungan dengan penyanyi Nita Hamzah sebelum digosipkan akan berkahwin dengan seorang kerabat diraja Pahang, Tengku Nurul Mardiana namun, Zahid menepis semua dakwaan itu.


Tahniah Zahid dan Sarah!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top