Sempena sambutan yang ke-27 tahun TV3, satu majlis pelancaran rangkaian terbaru EMAS telah diadakan semalam bertempat di lobi utama, Sri Pentas, TV3. Saluran televisyen retro kontemporari yang pertama itu merupakan hasil kolaborasi antara Media Prima Berhad bersama TM demi mengimbau dan mengenang kembali kenangan lalu dengan menyiarkan kembali program popular yang pernah disiarkan oleh TV3 suatu masa dahulu.

 

Antara rancangan yang disiarkan di saluran emas adalah Majalah 3, Sinaran Pasport Kegemilangan, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini, Senario, Melodi, Pesona Bintang, Nona dan Jejak Rasul. Dengan kemunculan semula program yang pernah mendapat 'rating' tinggi di TV3, diharap dapat menghidupkan kembali nostalgia yang pernah memikat hati penonton.

 

"EMAS ialah satu saluran yang begitu istimewa bagi kami kerana kebanyakkan program yang disiarkan merupakan antara yang terbaik di kalangan karya yang terbaik dan menjadi kayu pengukur kepada kandungan dan laporan media pada masa kini. Oleh itu, adalah sangat penting memperkenalkan kembali program-program ini kepada penonton agar menyegarkan kembali ingatan mereka terhadap karya-karya tersebut justeru memberi peluang kepada generasi muda menonton program yang sering menjadi sebutan ramai sebelum ini,"ujar Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar ketika melancarkan pelancaran saluran di HYPP TV itu.

 

Mensasarkan kepada golongan Gen-Y, EMAS merupakan tambahan terbaru koleksi Hypp TV dan media integrasi di bawah naungan Media Prima Berhad. EMAS boleh diikuti di saluran 104 melalui Hypp TV, dan bersiaran di dua slot; yang mana akan disiarkan pada 1 petang hingga 3 petang dan 8 malam hingga 12 tengah malam.

 

Kesemua pelanggan UniFI boleh menonton EMAS secara percuma dalam bulan Jun dan bayaran serendah RM3 sahaja dikenakan setiap bulan bermula I Julai 2011 untuk menonton saluran ini.

 

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah Pengerusi TM, Datuk Dr. Halim Shafie dan juga personaliti –personaliti televisyen yang pernah popular di era 1980an dan 1990an antaranya Wan Zaleha Radzi, Dato' Mahadzir Lokman, Razak Abdullah, Datin Zalina Azman, Nizal Mohammad, Azwan Haji Ali, Raymond Goh dan penampilah khas Siti Musliha. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan gandingan duo pengacara 'dulu' dan 'kini', NurFarahin Jamsari dan Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan  (Fiza).

 

Majlis diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Yang Berbahagia Datuk Khadijah Ibrahim dan persembahan Black di akhir majlis.

 

Jangan ketinggalan untuk menonton pelbagai program-program terhebat yang disajikan di saluran EMAS ini. Langganilah rangkaian EMAS di Hypp TV dan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang senarai penuh VOD dan program-program Hypp TV, layarilah www.unifi.my/hypptv.

 






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top