Rancangan yang telah mengangkat pasangan suami isteri Razif dan Alya sebagai juara Mari Menari musim pertama bakal menyaksikan 10 pasangan baru yang akan berentap merebut gelaran juara Mari Menari musim kedua ini.
Memberi sedikit kelainan dari segi format program, musim kedua ini menyaksikan 10 peserta ini dibahagikan kepada dua kumpulan, dan setiap kumpulan akan dilatih oleh juru tari profesional sepanjang program ini berlangsung.
Selain itu, program ini akan bersiaran dua kali seminggu iaitu setiap Sabtu dan Ahad, dan disetiap minggu akan ada penyingkiran sekaligus menjadikan rancangan ini berlangsung dengan pantas.
Menjelaskan tentang perkara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, format baru itu dijalankan adalah untuk memantapkan lagi program Mari Menari musim kedua ini.
"Kami mahu memantapkan lagi identiti tarian dalam program ini, dan mahu ia mempunyai label yang lebih tinggi dan lebih dekat dengan penonton.
"Setiap kumpulan akan diketuai oleh juru tari yang sememangnya profesional dan mempunyai bakat dan nama yang besar dalam industri tarian Malaysia iaitu Ray dan Belalang.
"Mengenai proses penyingkiran, memang kami adakan dua kali seminggu kerana mahu menghormati bulan Ramadhan yang akan datang tak lama lagi,"jelas Azlin
Mari Menari untuk musim kedua ini masih mengekalkan pengacara kesayangan anda, Awal Ashaari dan Lisa Surihani sebagai pengacara rancangan ini.
"Awal dan Lisa sudah mempunyai keserasian sejak mereka bersama di musim pertama lagi, mereka juga sudah sinonim dengan program Mari Menari ini,"tambahnya lagi.
Program ini telah menjalankan uji bakat sejak dua bulan yang lalu, sepuluh peserta telah diambil dan mereka akan memulakan langkah tari mereka pada 17 Jun ini di saluran Astro Ria.