Tidak berpuas hati dengan penyingkiran tersebut, wakil anggota kumpulan berkenaan, Ahmad Helmi Jamaluddin menjelaskan, seakan wujud satu konspirasi dalam program tersebut yang akan menentukan kumpulan mana yang bakal tersingkir di setiap minggu dan siapa pula pemenangnya.
"Memang saya kecewa apabila kami diumumkan sebagai kumpulan yang tersingkir. Bukan tak dapat terima hakikat tentang penyingkiran tersebut tapi saya rasa memang wujud konspirasi dalam program itu.
"Semacam dah tentukan siapa kumpulan yang akan tersingkir di setiap minggu dan siapa pemenangnya," katanya kepada portal murai.com.my sewaktu diminta mengulas mengenai penyingkiran mereka.
Menyambung perbualan, jelas Ahmad Helmi atau lebih mesra dengan panggilan Amy, perkara tersebut jelas kelihatan bahkan penonton yang menyaksikan program tersebut juga dapat merasai ketidakseimbangan program itu.
"Empat kumpulan yang rendah markah akan bersaing dalam pusingan yang dipanggil battle. Semasa pusingan tersebut nampak sangat ketara tarian daripada kumpulan yang tak sehebat mana pun boleh menang.
"Sampaikan pakcik saya yang tengok dari rumah pun boleh cakap nampak sangat ada pemilihan berat sebelah dalam program tersebut. Tariannya biasa-biasa sahaja tapi boleh mara minggu seterusnya," jelasnya lagi.
Kata Amy lagi, kemenangan sememangnya menjadi impian Force 136 namun apa yang lebih penting ialah pengalaman yang diraih mereka pada program itu.
"Memanglah kalau boleh semua orang nak menang, tapi kalau dah tak ada rezeki nak buat macam mana kan? Namun kalau sikap berat sebelah yang diamalkan oleh pihak tertentu, susahlah macam ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Amy turut kesal dengan beberapa dakwaan yang timbul di laman sosial yang telah mengaitkan mereka sebagai sebuah kumpulan yang bermasalah serta terlibat dengan aktiviti samseng jalanan dan gangster.
"Kami pun tak paham kenapa ada pihak yang nak mengaitkan kami dengan aktiviti yang bermasalah seperti itu. Siap wujud lagi laman facebook anti Force 136 semata-mata untuk menjatuhkan kami. Tapi bagi saya, semua itu tak menganggu tumpuan kami pun sewaktu dalam program berkenaan," katanya.
Dengan penyingkiran Force 136, ianya telah membuka ruang kepada 6 kumpulan yang lain iaitu Panic, Bounce Stepperz , HMC Phlow , Elecoldxhot, Blazin Squad, dan Rokusteps untuk bergelar Juara Showdown 2011 Musim Kedu, sekaligus bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM 50,000.
Dikendalikan oleh Hafiz Hatim selaku pengacara, Showdown 2011 telah pun berlangsung di ruang Terbuka, i-City, Shah Alam, Selangor pada setiap Rabu jam 9.30 malam dan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran 8TV.
Teks Oleh: zyzamani