A New Chapter adalah album kedua penyanyi Kaer Azami selepas album sebelumnya, Menjelma (2007) dan A New Chapter lebih mencirikan sifat kematangannya dari segi vokal, muzik, lirik dan imej.
“A New Chapter is a grown up!” ringkas kata-kata Kaer tapi jelas pengertiannya.
Jelas Kaer, album yang baru empat bulan dipasarkan itu direalisasikan umpama mimpi baginya. Mana tidaknya, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Sphinx Flame itu berjaya mendapatkan deretan komposer berbakat untuk merencanakan perjalanan album itu.
“Saya berjaya mendapatkan komposer dari Malaysia dan Indonesia yang sudah lama saya menyimpan hasrat untuk berkolaborasi, melalui album ini saya berikan 120 peratus kudrat saya,” ujarnya yang tidak mengejar populariti tapi masih pentingkan populariti.
Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Teguh, Tengku Shafick antara barisan komposer yang berjaya disambar Kaer untuk album itu. Impian untuk berkolaborasi dengan komposer idaman sejak kecil, Yovie Widianto turut jua terlaksana.
Menerusi A New Chapter, sebanyak sembilan buah lagu dimuatkan antaranya Kamu, Apa Adanya, Cinta Tak Ternoda, Masih Mencintaimu, Atas Nama Cinta, Bisikan, Pacar Rahasia dan Berakhir Di sini. Sementara lagu Kamu juga diberikan susunan khas dengan menampilkan penyanyi undangan, Yunun.
Dalam nada kesal dengan sambutan stesen radio tempatan yang memandang remeh terhadap naskhah yang baru dihasilkannya, ada sinar ceria yang menghiasi setiap inci raut wajahnya.
“Walau kurang promosi, album ini mendapat sambutan yang luar biasa terutama peminat dari Indonesia dan Brunei. Ada pembeli dari Brunei yang datang ke Malaysia semata-mata untuk membeli album saya dan sekali beli sampai 20 buah album, itu yang mendekatkan saya dengan mereka hinggakan hampir setiap minggu ke sana membuat persembahan,” bicara Kaer yang kini sudah boleh berbahasa Melayu Brunei.
Sibuk belajar dalam masa sama menguruskan perniagaan ketika di Jakarta, Indonesia, Kaer mengakui dia juga ada mencipta beberapa buah lagu untuk dimuatkan dalam album terakhirnya
“Bukan sebab merajuk tapi memandangkan usia saya, rasanya sudah sampai masa untuk berundur dan akan lebih fokuskan perkara belakang tabir.
“Menerusi album terakhir ini yang lebih saya sifatkan personal, saya akan memuatkan gambar-gambar peribadi sepanjang perjalanan saya membesar. Album ini berkenaan cinta, kehidupan, keluarga dan persahabatan,” cerita Kaer.
Album itu akan memuatkan lima buah lagu ciptaan sepenuhnya Kaer dan masih mengekalkan genre balada pop. Kemungkinan kata Kaer akan memasukkan sebuah lagu berentak jazz ke dalam album itu.
Akui Kaer, setelah sebulan menjejak kaki ke bumi tercinta Malaysia, masanya lebih banyak dihabiskan bersama keluarga, saudara mara dan teman.
0 ulasan:
Catat Ulasan