Nasi Lemak Kopi O (NLKO) ada wajah baru!

Hunny Madu dan Leya telah menyertai Nasi Lemak Kopi O (NLKO). Barisan pengacara sedia ada Nasi Lemak Kopi O (NLKO) ialah Sharifah Nur, Farah Anuar, Luq, Fizo Omar dan AG.

Program Nasi Lemak Kopi O (NLKO) yang disiarkan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad di TV9 pada jam 8 hingga 10 pagi itu menampilkan dua wajah baru ini bagi program yang menjurus kepada isu semasa dan topik terkini itu selain untuk menarik minat kalangan penonton muda.

Dikelolakan oleh Wan Sabariah Sheikh Ali sebagai penerbit eksekutif, NKLO akan mempunyai set studio dan suasana baru yang memberikan kelainan kepada penonton setianya bermula awal Januari nanti.

Musim baru program ini juga memperkenalkan tema mengikut hari seperti Fabulous Girl setiap Jumaat. Pada Sabtu pula bercirikan Santai manakala Ahad dengan Trio Ahad.

Berpeluang menjadi anggota keluarga baru dalam program ini memang sesuatu yang baru bagi Hunny Madu dan dia cukup teruja untuk muncul di TV sebagai hos bual bicara.

Malahan juruhebah stesen radio Inggeris, Fly FM berusia 27 tahun ini menganggap tawaran sebagai perantara program TV membuka peluang kepada pendengar untuk lebih mengenalinya. Wanita ramah ini memberitahu mungkin pembaharuan itu daripada segi personalitinya.

"Sebenarnya kehadiran saya pada sesi uji bakat itu adalah sebagai tetamu biasa. Tapi produser program itu kemudian meminta saya hadir untuk uji bakat sebagai pengacara pula. Akhirnya saya diterima sebagai bakat yang dicari.

"Saya melihat program ini berbeza daripada program bual bicara yang lain dan sasaran program ini adalah remaja di bawah umur 21 tahun. Isi kandungannya lebih santai dan merujuk kepada golongan gen Y," katanya sambil memberitahu masih menjadi juruhebah meneruskan tugas di radio Fly FM dan tidak menganggap tanggungjawab barunya itu mengganggu perjalanannya sebagai juruhebah.

"Saya masih di Fly FM dan bertuah kerana tawaran yang saya terima ini tidak langsung mengganggu jadual sebagai pengacara. Lagipun konti kami hanya bersebelahan saja. Habis tugas sebagai pengacara TV, saya jadi juruhebah pula dan begitulah sebaliknya," katanya memberitahu menghadiri uji bakat itu pada awal November lalu.

Sambil menganggap tawaran pengacaraan sebagai rezeki dan peluang menambah ilmu, pemilik nama kelahiran Hani Farhana Mohd Hatim, ini akan membentuk personaliti yang lebih sopan dan menghormati penonton selain mengajak berbual sesuatu topik yang menarik.

"Setakat ini, segmen yang akan diamanahkan masih tidak diketahui," kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Hunny juga menjelaskan dia tidak ada masalah untuk mengendalikan program ini dalam bahasa Melayu kerana itu memang bahasa pertuturan hariannya, manakala bahasa Inggeris pula banyak digunakan ketika bertugas sebagai juruhebah radio.

"Ini adalah rahsia saya yang ramai tidak tahu. Sebenarnya ketika di sekolah dulu saya aktif dengan pertandingan seperti pidato, sajak dan jangan tidak percaya saya sering membaca sajak di perhimpunan sekolah.

"Selain itu, saya juga dilantik sebagai duta bahasa Melayu di sekolah selain aktif menyanyi. Saya juga suka menulis lirik dan membaca sajak tulisan A Samad Said. Siap dengan eskpresi dan bahasa tubuh lagi," katanya yang menganggap tidak menjadi masalah untuknya sebagai pengacara untuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

Sudah takdir berbahasa Melayu

LAIN pula bagi Aleya yang turut dipilih sebagai pengacara NLKO. Ditanya, apakah kelainan yang mahu dibawa dalam program itu, jawapannya tiada pembaharuan kerana selama menjadi juruhebah mahupun bidang pengacaraan, dia mahu menjadi Sharifah Aleeya.

"Saya tetap diri saya. Mengacara atau penyampaian radio, saya tetap sama. Melainkan berlakon, saya akan memastikan saya mengikut watak yang diperlukan," jawabnya ringkas.

Bagi Aleya tiada beza menjadi penyampai radio atau pengacara TV kerana matlamatnya berkongsi ilmu dengan pendengar dan penonton.

Katanya, kehidupannya berbeza dengan bakal rakan sekerja kerana dia lebih banyak menyertai pertandingan bahasa Inggeris dan menganggap bertugas di konti radio bahasa Melayu sebagai takdir.

Hunny Madu

"Hunny menyertai pertandingan berbentuk bahasa Melayu di sekolah dulu, saya pula banyak menyertai pertandingan berbahasa Inggeris. Ketika uji bakat dulu, saya berniat jadi penyampai di Fly FM tetapi terpilih di Hot FM. Mungkin masa depan saya di Hot FM," katanya.

Ditanya tidakkah dia mempunyai masalah menggunakan bahasa Melayu ketika mengendalikan rancangan di NLKO, katanya dia begitu yakin tidak akan mengalami masalah kerana boleh berbahasa Melayu dengan baik.

"Saya tidak ada masalah bercakap bahasa Melayu walaupun sejak azali sering diingatkan supaya kurangkan penggunaan bahasa Inggeris. Cuma sudah selesa campur adukkan keduadua bahasa tetapi untuk program TV, saya gunakan bahasa Melayu yang baik," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top