Pepatah ada mengatakan, 'kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa' kerana kelebihan itu bukan milik orang dewasa sahaja, ada kalanya terdapat pada orang muda juga.

Kelebihan itu dapat disaksikan menerusi persembahan enam finalis pertandingan program realiti Idola Kecil, terbitan TV9, pada Konsert Final Idola Kecil 4 yang diadakan di Dewan Sri Ptura Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Melihat kepada cara persembahan para peserta, kita tidak percaya bahawa rata-rata mereka adalah kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun.

Mereka begitu berkeyakinan ketika tampil mengadakan persembahan di pentas, hingga menyukarkan para juri untuk memilih siapa yang terbaik antara terbaik.

Bagaimanapun juri pada malam itu, penyanyi Atilia, komposer Adnan Abu Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul sepakat memilih Fifa atau Sharifah Nurhafifa Wan Aziz, 12, dari Shah Alam, Selangor sebagai juara.


Fifa yang mendendangkan lagu Aku Permata dendangan Salma Mentor dan lagu baru ciptaan Delly, Cinta Sebelah Meja, berjaya membawa pulang wang tunai RM15,000 dan trofi.

Menurut murid Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang Perdana itu, dia tidak sangka dipilih menjadi juara kerana rakan-rakan yang bersaing di peringkat final hebat-hebat belaka.

"Bagi Fifa, peluang memasuki final pun merupakan kesempatan yang baik. Ditambah pula menjadi juara yang sememangnya di luar jangkaan. Ini semua menyuntik semangat Fifa untuk terus bergiat dalam seni.

"Tanpa bimbingan cikgu Alfa Booty (komposer), cikgu Delly (vokal) dan cikgu Affizal (tarian), tidak mungkin Fifa menang. Fifa nak guna duit itu untuk belanja keluarga dan untuk perbelanjaan sekolah," katanya yang mendapat keputusan 3A 2B pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Sementara itu, Farisha Asmadi atau Irish, 12, yang mempunyai suara mirip Shila Amzah berkata, sepanjang pertandingan, dia berusaha membuat persembahan yang terbaik.

Kata Irish, niat utama memasuki pertandingan Idola Kecil adalah untuk menjadi juara namun dia hanya mampu menduduki tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 serta trofi.

"Siapa yang tidak mahu menjadi juara, tapi Irish kena terima keputusan juri. Irish tumpang gembira untuk Fifa. Biarpun nombor dua tapi Irish tetap dapat hadiah.

"Irish harap lepas ini, kami semua diberi kesempatan menunjukkan bakat di tempat yang lebih terbuka," katanya yang mendendangkan lagu Patah Seribu (Shila Amzah) dan lagu baru Apalah Erti Semua Ini, ciptaan Alfa Booty.

Dalam pada itu, Abby atau Nabihah Idrus, 12, dari Melaka yang memperoleh wang tunai RM5,000 sebagai pemenang tempat ketiga secara jujur berkata, dia bersyukur meskipun mendapat tempat ketiga.

Katanya, seperti peserta lain, dia juga dambakan tempat pertama tapi apakan daya rezeki malam itu milik Fifa.

"Tidak sangka dapat nombor tiga, kerana untuk lagu Kisah Hati (Alyah) dan Dalam Laman Kalbu (Alfa Booty), Abby telah berikan persembahan yang terbaik.

"Kalah dan menang adalah adat pertandingan, apa pun Abby tetap gembira kerana sekurang-kurangnya Abby tidak pulang dengan tangan kosong."

Lain-lain peserta yang turut menampilkan persembahan hebat pada konsert final Idola Kecil 4 yang dihoskan Aliff Satar itu adalah Sharifah Rusilmu Imani Syed Hussain (Rusil), 11, Sarah Elyssa Kahirul Fahmy (Shasha), 11, dan Hairul Asri Sjofjan (Hairul), 12, satu-satunya peserta lelaki peringkat akhir.

Barisan pelapis industri

Lebih 1,500 peserta telah menyertai uji bakat Idola Kecil musim empat yang diadakan di seluruh negara dan daripada itu, 20 peserta dipilih sebelum menyenaraikan 12 orang untuk bertanding.

Melihat pada sambutan yang diberikan terhadap program Idola Kecil yang dilancarkan sejak 2008, Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin berkata, pihaknya tidak sangka di luar sana banyak kanak-kanak berbakat.

Katanya, program itu akan diteruskan setiap tahun kerana selain menjadi platform untuk bakat-bakat kecil mengasah dan mengekspresikan bakat, ia juga memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari tutorial muzik dan menimba ilmu pada musim cuti sekolah.

"Sambutan terhadap program ini amat menggalakkan, walaupun sudah empat tahun ia masih kekal sebagai program realiti kanak-kanak nombor satu di Malaysia.

"Kalau kita lihat semua finalis mempunyai keupayaan vokal, alunan suara dan persembahan yang berkualiti tinggi. Walaupun kecil tapi bakat yang ditonjolkan sangat mengagumkan. Untuk masa depan, kita tidak perlu risau kekurangan penyanyi berbakat kerana dari sini kita boleh membentuk mereka menjadi terbaik," katanya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top