Karya kedua Hashim Rejab selepas Sekali Lagi ini ternyata filem yang dekat di hati penonton tempatan. Ketepikan unsur komersial berlebihan, lawak jenaka bodoh, drama air mata atau kesan khas yang memeningkan, Papa, I Love You sebuah naskhah jujur. Jujur di segi plot, watak dan jiwa filem itu.
Penulis 'tabik spring' kepada Zalif yang berjaya membawa diri sebagai Baha, bapa tunggal yang terpaksa menyara anak perempuan tunggalnya, Mia. Walaupun terlalu hijau untuk dikategorikan hebat dalam lakonan, Zalif sebenarnya berjaya mengharungi setiap detik dengan bersahaja.
Mungkin bunyinya seolah-olah Papadom karya Afdlin Shauki yang turut mengangkat tema sama, Papa, I Love You sangat ringan dan sesuai sebagai filem keluarga.
Bukan bertujuan membezakan karya Afdlin dan Hashim tapi bila diamati, kedua-duanya mempunyai daya tarikan sendiri dan kelebihan. Bagi penulis, karya Afdlin berat manakala Hashim lebih ringan.
Zalif bukan saja berjaya melontar sisi lawaknya yang sinonim dengan jiwanya seperti ditonton dalam Bini-biniku Gangster, malah dia juga mampu memberikan ruang rasa sedih kepada penonton.
Jika bakat lakonan Zalif dapat dicanai dengan lebih mendalam, tidak mustahil kita akan melihat kematangan dalam jiwanya kelak. Pelakon bertubuh 'comel' itu mempunyai peluang cerah bergelar pelakon hebat dan pada masa sama, menjadi idola kepada ramai pelakon baru lain yang masih mencari ruang rezeki.
Sayangnya, Lisa Surihani seolah-olah hilang taring membawa watak Elly. Entah mengapa, dia bagai hanyut dalam dunianya sendiri. Sama ada ia satu kesalahan atau lopong yang tidak disengajakan, tepuk dada tanyalah selera.
Bagi penulis, Lisa sangat membosankan di segi ekspresi dan lontaran rasa. Tampak dibuat-buat dan kurang jujur. Sebagai pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM), dia sepatutnya melayani watak itu sama berat dengan mana-mana watak lain.
Secara jujur, bukan tujuan penulis menyatakan sisi buruk lakonannya tapi kematangan Lisa sebagai pelakon berkaliber kurang jelas.
Sangat berbeza dengan lakonan hebatnya di dalam Ombak Rindu. Tidak banyak boleh diperkatakan mengenai adik Mia, pelakon kanak-kanak yang meningkat naik.
Selain geraknya yang dirancang pengarah, wajah comel serta cara Mia menyampaikan dialog masih mentah untuk diperkatakan penulis. Pun begitu, anak kecil itu mempunyai daya tarikan sendiri untuk menguatkan jalan cerita Papa, I Love You.
Penulis juga kurang faham dan sedikit kecewa dengan beberapa plot yang ibarat 'melepaskan batuk di tangga'. Antaranya ketika cuba menonjolkan sisi perubahan setiap watak yang dilakukan tampak pantas. Mungkinkah kerana faktor masa atau lakon layar yang longgar, penulis percaya penonton dapat menilainya sendiri.
Pada aspek teknikal, penulis secara jujur kagum pada gerak kerja kamera yang lari daripada kebiasaan. Sekalung tahniah kepada pengarah seni, pengarah fotografi dan pengarah filem ini kerana tahu mencari ruang estetika tanpa menggunakan kamera berdefinisi tinggi.
Antara babak dengan sinematografi indah ialah ketika Baha, Mia dan Elly bermain layang-layang. Penataan cahaya yang sempurna berjaya memberikan ruang emosi kepada penonton untuk turut sama-sama menyelami kegembiraan mereka di padang layang-layang.
Malah, pengarah juga bijak bereksperimen dengan 'shot' daripada pelbagai sudut berbeza. Sudut pandangan atas serta pergerakan kamera untuk mendapat mood pada babak tertentu memberi kelebihan kepada filem ini serta menjadi 'signature' kepada Hashim.
Penulis sangat berpuas hati dengan filem ini. Ia ibarat menikmati air tangan ibu sendiri, walaupun hidangan itu sekadar telur goreng dadar berintikan bawang dan cili.
FILEM: Papa, I Love You
GENRE: Drama komedi
PENGARAH: Hashim Rejab
PELAKON: Lisa Surihani, Mia Sara, Zaidi Omar dan Zalif Sidek
TAYANGAN: 29 Disember 2011
~ MA
0 ulasan:
Catat Ulasan