Kutipan Filem Rock Oo!

Filem Rock Oo! arahan Mamat Khalid mencatat kutipan RM2.3 juta dalam tempoh empat hari tayangan sejak 28 Februari lalu.

Mamat berkata, sambutan positif penonton terhadap filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GB) itu membuktikan genre komedi yang membawa mesej pengajaran membina masih digemari ramai.

"Penonton suka menonton filem ini kerana ia menggambarkan harapan individu mahupun kumpulan yang mahu berjaya dalam hidup. Ia bukan hiburan semata-mata, malah memberi semangat kepada penonton," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menampilkan pelakon utama, Que Haidar, Khir Rahman, Sofi Jikan, Pekin Ibrahim dan Azmi Black, filem ini kesinambungan filem Rock yang diterbitkan pada 2005.

Menurutnya, plot penceritaan disampaikan dalam filem ini mengisahkan perjuangan lima pemuda kampung menganggotai kumpulan Rimba Bara yang mencipta nama sebagai penyanyi rock terkenal memberi tarikan kepada penonton.

"Cerita yang menarik dan gandingan pelakon yang bagus memberi kekuatan pada filem ini. Seperti mesej filem ini, mereka mampu berjaya walaupun berdepan pelbagai rintangan," katanya.

Mamat berkata, elemen komedi, plot dan pelakon yang ditampilkan dalam filem barunya ini menjadi formula berkesan untuk tarik perhatian penonton.

"Penonton sekarang sangat memilih filem yang mahu ditonton. Jadi, produser perlu mencari pendekatan baru untuk memikat penonton," katanya.

Katanya, sasaran filem ini tidak hanya dihasilkan untuk peminat rock yang melalui zaman kegemilangan pada pertengahan 1980-an, tetapi untuk generasi muda.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top