Siti Nurhaliza Sumbang RM20 Ribu Tabung Wira Lahad Datu

Datuk Siti Nurhaliza  telah menyumbang RM20,000 kepada Tabung Wira Lahad Datu, Media Prima Berhad sebagai tanda keprihatinannya kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban.

Jelas Siti, beliau terpanggil untuk menghulurkan bantuan kerana dapat merasakan keperitan yang dihadapi oleh ahli keluarga anggota keselamatan terbabit. Sebagai insan seni dia menganggap pemberiannya itu sebagai satu tanggungjawab sosial yang harus dilaksanakan.

“Daripada jumlah RM20,000 ribu itu, RM10,000 adalah sumbangan daripada Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd dan RM10,000 lagi daripada SimplySiti Sdn Bhd. Siti rasa terpanggil untuk menderma kerana Siti ingin menghargai jasa anggota keselamatan kita yang sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan keamanan negara. Siti juga anak anggota polis, jadi Siti dapat merasakan keperitan yang dialami oleh ahli keluarga anggota keselamatan terbabit.

Selain itu, Siti juga salah seorang askar Wataniah. Ini adalah salah satu tanggungjawab sosial yang harus Siti lakukan sebagai tanda prihatin kepada wira-wira negara kita,” ujar Siti yang hadir sendiri ke Sri Pentas untuk menyerahkan cek sumbangan beliau kepada Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Ahmad Izham Omar pada Selasa.



Sementara itu, Siti juga turut menggesa  rakyat Malaysia agar menghulurkan bantuan kepada Tabung Wira Lahad Datu ini sebagai tanda sokongan kepada perjuangan anggota keselamatan dalam mempertahankan keselamatan negara.

“Harap masyarakat di luar sana boleh menghulurkan bantuan kepada tabung ini. Jika tidak boleh beri sumbangan dalam jumlah yang banyak, sedikit pun tidak mengapa. Kalau bukan dalam wang ringgit, mereka juga boleh berdoa agar setiap anggota keselamatan yang bertugas berada dalam keadaan selamat,” ujar Siti lagi.

Mengulas tentang tindakan sesetengah pihak yang memperlekeh perjuangan anggota keselamatan di Lahad Datu, Sabah, Siti memberitahu dia berpendapat tindakan mereka itu tidak wajar sama sekali.

“Tidak wajar kalau ada orang yang memperlekehkan perjuangan anggota keselamatan kita di sana. Mereka berjuang untuk negara, jadi kita harus hargai pengorbanan mereka. Sebagai rakyat Malaysia kita harus jadikan insiden ini sebagai satu motivasi untuk lebih cintakan negara.

Kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban, Siti harap mereka tabah. Mereka patut rasa bersyukur kerana ahli keluarga mereka tewas ketika mempertahankan maruah negara,” ujar Siti.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top