Cinta adalah pengalaman yang pernah dilalui setiap manusia. Dan kisah suka duka ketika bercinta cuba ditonjolkan Pierre Andre dalam filem terbaru arahannya, Cerita Kita. Tiga pelakon berbeza karakter - Yana Samsudin, Pekin Ibrahim dan Fezrul Khan menjadi teraju utama filem itu.

Yana, seorang gadis ceria menjadi perebutan dua jejaka berbeza ideologi, Pekin dan Fezrul dalam filem ke-74 terbitan MIG Productions itu.

Selain Yana yang memegang watak Ika, Pekin (Kamal) dan Fezrul (Malik), filem bergenre romantik itu turut dibintangi Shima Anuar, Along Eyzendy dan Khatijah Tan. Ia menemui penonton di pawagam sejak Khamis lalu.

Bagi Pekin, filem Cerita Kita berbeza daripada filem cinta lain. Disebabkan itulah, dirinya menerima lamaran Pierre untuk membintangi filem itu.



Cabaran filem

"Saya bukannya cerewet, tapi saya agak memilih watak. Kalau dilihat, setiap filem lakonan saya pastinya berbeza karakter. Tapi, setiap filem ada cabaran, begitu juga ketika penggambaran filem Cerita Kita. Cabaran bermula ketika peringkat awal lagi. Saya hanya mendapat skrip tiga hari sebelum penggambaran dimulakan. Ia sekali gus menyukarkan saya mendalami watak Kamal dalam masa yang singkat. Dan saya hanya menemui watak Kamal selepas tiga hari penggambaran.

"Saya juga pertama kali digandingkan dengan Yana dalam satu filem. Mungkin agak sukar mahu mencari keserasian dalam tempoh yang singkat, tapi saya bertuah kerana Yana mudah untuk didekati. Mungkin dengan Fezrul tidak timbul masalah kerana kami sudah kenal lama dan pernah digandingkan dalam beberapa drama dulu.

"Bagaimanapun, saya tidak salahkan pengarah atau MIG, apa yang berlaku kerana skrip lambat siap. Bila skrip lambat siap, inilah jadinya. Bukannya apa, saya selesa jika praproduksi diadakan kerana saya ada masa untuk hayati watak dan mendekati pelakon yang menjadi pasangan saya dalam filem.

"Mungkin pendekatan saya agak berbeza, jika bergandingan dengan seseorang saya suka melihat karakter seseorang. Tapi, saya bersyukur tidak berdepan masalah mendekati Yana. Saya selesa bergandingan dengan Yana dan Fezrul kerana mereka 'happy go lucky' dan mudah bekerjasama," katanya yang sudah tiga kali bekerjasama dengan Pierre dalam filem.

Watak, karakter sama

Pekin berkata, watak Kamal tidak jauh daripada karakternya ketika usia remaja. Kamal digambarkan sebagai seorang remaja yang meminati muzik dengan pengaruh grunge dalam hidupnya.

"Dulu, saya terdedah dengan muzik punk, skinhead dan grunge ketika remaja. Apa yang berlaku dalam filem Cerita Kita pernah saya lalui dalam hidup, ia cukup bersesuaian dengan jiwa saya. Apa yang ada dalam diri Kamal sudah ada dalam diri saya. Bagaimanapun, dugaan datang apabila hadir seorang lelaki lain, Malik (Fezrul) yang cuba merebut kekasih hatinya, Ika (Yana). Di situlah bermulanya konflik hidup Kamal," katanya yang menanti tujuh lagi filem lakonannya untuk ditayangkan tahun ini.

Yana berkata, watak Ika, gadis yang tersepit antara dua lelaki yang mencintainya. Seorang lelaki yang masih mencari arah hidup, manakala seorang lagi, lelaki yang sudah kukuh kewangan dan masa depan. Masalahnya, dua lelaki ini baik dan menerima dirinya seadanya.

"Ika, tersepit untuk memilih dua lelaki yang mencintainya. Ika mempunyai kawan baik, Kamal yang menyimpan perasaan padanya, manakala Malik pula hadir ketika dirinya memerlukan. Saya yakin pasti ada antara kita yang melalui pengalaman yang berlaku pada Ika.

"Bercinta memang indah, tapi apabila sampai satu ketika, kita memikirkan kestabilan dalam hidup.

Saya menganggap filem ini satu filem yang jujur," kata finalis Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2012 ini.

Kata Yana, bekerja dengan Pierre bukan asing lagi buatnya, tapi ini adalah kali kedua bekerja di bawah pengarahan Pierre selepas filem pendek, Lampu Merah pada 2006.

"Sebelum ini, saya sudah beberapa kali bergandingan dengan Pierre dalam filem. Selepas filem pendek, Lampu Merah kira-kira tujuh tahun lalu, filem Cerita Kita adalah filem kedua di bawah pengarahan Pierre. Bekerja dengan Pierre cukup mudah dan cepat. Jika menangis, tidak perlulah teresak-esak, tapi Pierre suka bermain dengan emosi dalaman. Bayangkan penggambaran filem ini dapat disiapkan dalam masa 11 hari, bukan sebulan seperti filem lain. Pierre seorang yang suka melakukan persediaan awal, dia tahu apa babak yang mahu dilakukan," katanya.

Bagi Fezrul, watak Malik tidak terlalu berat buatnya, iaitu lelaki berusia 30-an dan ahli perniagaan yang kukuh kedudukannya.

"Saya mudah mendapat keserasian dengan Yana kerana sudah berlakon dalam filem Minyak Dagu dan drama bersiri, Bini Biniku Perkasa bersamanya. Bagi saya, filem ini menarik kerana pelakonnya, Pekin dan Yana yang kita ketahui kehebatan lakonannya. Berlakon di bawah pengarahan Pierre pula sesuatu yang saya impikan Pierre banyak mengarahkan filem cinta sebelum ini. Saya tidak pernah menonton filem cinta seperti Cerita Kita. Jalan ceritanya ringkas dan berbeza. Apabila kita menonton filem ini, mungkin ada antara kita terdetik dan terimbau dengan nostalgia lalu," katanya yang sibuk di lokasi penggambaran drama Sebenarnya Saya Isteri Dia.


~ BM


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top