Kabinet meluluskan permohonan insurans berkelompok seniman dalam usaha kerajaan memastikan golongan penggiat seni sentiasa terbela, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau mengumumkan perkara itu pada majlis pembukaan semula pawagam Coliseum, di sini, baru-baru ini.

Kata Rais, insentif yang diluluskan itu sebagai sumbangan `kasih sayang' kerajaan kepada semua warga seni tanah air.

"Sukacita saya maklumkan Kabinet baru saja meluluskan permohonan insurans berkelompok seniman. Kelulusan ini bagi memastikan semua golongan terbabit sentiasa terbela dan diberikan perhatian oleh kerajaan.

Semua cabang seni

"Golongan seniman pula bukan hanya tertumpu kepada pelakon atau penyanyi, malah ia merangkumi semua sektor seni yang terbabit dalam cabang industri kreatif seperti bidang kraf, fesyen dan tekstil, persilatan, penulisan, sejarah dan warisan serta yang berkaitan dengannya," kata Rais.

Menurutnya, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) akan mengadakan perjumpaan bersama semua pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan seni berhubung perkara itu.

"Kita tidak mahu ada mana-mana pihak gagal memahami pewujudan skim insurans ini. Oleh itu, sebuah buku kecil akan diterbitkan dan beberapa pengumuman akan dibuat menerusi media massa agar mereka yang berhak boleh menerima habuan dan mendapat faedah daripadanya," katanya.

Sebelum itu, Rais turut menyerahkan Bantuan Seni Kreatif 1Malaysia kepada 25 persatuan yang terbabit dalam industri kreatif.

Pemberian insentif ini ialah lanjutan daripada bantuan sama ketika majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2013 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Lancar pentadbiran persatuan

Bantuan ini juga antara insentif kerajaan dalam membantu melancarkan urusan pentadbiran persatuan dan pelaksanaan aktiviti ahlinya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz; Pengerusi FINAS, Datuk Md Afendi Hamdan; dan Ketua Pengarahnya, Raja Rozaimi Raja Dalnish Shah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top