Dynas Mokhtar rindu berlakon

Pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar tenang berada di set penggambaran berbanding di rumah sendiri.

Bukan bermakna ibu dua anak ini tidak suka suasana di rumah, bermain dan bermanja dengan anak-anak serta suami. Cuma jika di set, otaknya boleh fokus pada skrip di tangan.

"Kalau di set penggambaran, saya akan fikir pasal dialog saja. Tapi di rumah, saya banyak fikir terutamanya pasal bisnes. Bayangkan sambil bersama anak-anak, saya akan fikir pasal rekaan baju baru, bahan yang diperlukan, pembekal dan sebagainya.

"Bagus juga bila saya buat macam ini (tenang di set), sekurang-kurangnya saya tidak terlalu tertekan dengan anak-anak di rumah. Saya dapat segarkan otak untuk mencipta rekaan baru untuk butik DNA.

"Hendak keluar bercuti tak boleh kerana kekangan kerja dan keluarga. Anak bongsu pun baru berumur lapan bulan, payah untuk dibawa makan angin. Untuk dapatkan idea baru mengenai bisnes, lebih mudah kerana lebih fokus," katanya jujur.

Pelakon drama seram Susuk ini akui, dek kesibukan harian dia perlu banyak berkorban. Apatah lagi Dynas baru saja membuka cawangan baru DNA di Setia City Mall, Shah Alam, lewat tahun lalu.

Jadualnya penuh membuatkan dia terpaksa membahagikan masa. Dynas bersyukur kerana mempunyai pembantu peribadi yang sangat profesional untuk membantu urusan berkaitan. Kakitangan DNA juga banyak membantu menguruskan perniagaan yang semakin mantap.

Berkat bantuan mereka, Dynas dapat memberi sepenuh perhatian mereka baju baru tanpa perlu memikirkan soal urusan berkaitan pembekal dan akaun. Tambah pula Dynas rindu kembali berlakon dan mengacara.

"Sudah lama saya tak berlakon dan mengacara. Kalau tidak silap, kali terakhir saya buat sesi fotografi dengan media pun tahun lalu untuk tujuan promosi DNA dan Khayra.

"Saya pernah mendapat tawaran berlakon teater tapi tak berani ambil sebab tempoh latihan yang mengambil masa panjang. Tahun ini saya akan terima tawaran berlakon yang sesuai dengan jadual kecuali teater. Saya mahu fokus pada lakonan drama terlebih dulu sebab mahu 'panaskan' balik teknik berlakon.

"Suami ada juga bertanya adakah saya sudah mula aktif berlakon sepenuhnya. Dia risau kerana anak kedua belum cukup setahun. Nak salahkan dia tak boleh juga kerana sebelum ini selepas anak sulung berusia setahun lebih, baru saya kembali berlakon," katanya.

Dynas akui sebab utama dia kembali kerana rasa rindu yang begitu mendalam untuk berlakon. Tanpa berselindung, pelakon mempunyai mata cantik ini akui niat berlakon semula secara aktif boleh menjadi isu antaranya dan suami.



"Ia bergantung kepada cara saya bercakap dan menjelaskan perkara ini kepadanya. Macam sekarang ini, saya tahu saya salah, saya akan diam saja. Kalau ada projek-projek baru yang berkaitan, tawaran berlakon saya akan diamkan saja dari pengetahuannya.

"Suami memang mengharapkan saya berhenti berlakon tapi dia tahu saya tidak akan berhenti. Malah emak saya bila tengok saya sudah mula berniaga, dia cukup suka.

"Bukan bermakna emak tak suka saya berada dalam industri lakonan, cuma dia tidak suka saya mendapat watak yang membuatkan penonton benci.

"Sama juga suami. Mereka tahu saya suka dan tidak boleh buat apa-apa. Hendak atau tidak, terpaksalah mereka sokong. Tapi mereka kenal siapa saya. Saya ni jenis yang akan sibuk gila-gila lepas itu akan berhenti untuk tumpu perkara lain selepas itu," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top