`Hidup saya sudah lengkap' - Rabecca Nur Al Islam

Tiada perkara lain yang menjadi keutamaan kepada Rabecca Nur Al Islam sekarang melainkan rumah tangga yang dibina bersama suami tercinta Nor Azam Sulaiman.

Zaman gadisnya, Rabecca sering dikaitkan dengan imej seksi, namun selepas mendirikan rumah tangga dengan insan tercinta, gaya hidupnya berubah dalam sekelip mata apatah lagi selepas mereka dikurniakan seorang puteri, Nor Anggun Raverra yang kini berusia enam bulan.

Pelakon jelita itu tidak lagi mengendahkan kehidupan sosialnya sebaliknya dia lebih senang berada di rumah melayan dua anaknya, Nor Adam Danial, 5 dan Anggun.

Rabecca baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-27, baru-baru ini dan lebih membahagiakannya dia bakal mendapat anak lagi dengan usia kandungan kini mencecah hampir lima bulan. Adanya Adam dan Anggun, Rabecca tidak begitu memilih sama ada bayi yang bakal lahir itu lelaki atau perempuan kerana yang lebih penting bayi itu sihat dan sempurna sifatnya.

Alhamdulillah, hidup saya sudah lengkap dengan adanya anak-anak dan mendapat suami yang baik serta memahami diri saya. Saya masih rindu untuk berlakon namun keutamaan buat masa sekarang adalah anak-anak.

Saya dan suami suka anak ramai dan kalau boleh Azam mahu saya hamil setiap tahun. Berlakon bilabila pun boleh tetapi kehamilan ada had usianya. Di kala usia masih muda biarlah saja menambah keluarga dulu, bukan tak boleh hamil pada lewat usia tetapi risikonya sangat tinggi. Saya mahu melihat Adam, Anggun dan adik mereka yang bakal lahir ini membesar di depan mata.

Syukur Anggun bayi yang senang dijaga, tidak banyak ragam dan dia juga `kaki' melaram seperti ibunya setiap hari berpakaian cantik. Azam suka tengok `anak daranya' itu bergaya seperti ibunya juga, kata Rabecca sambil ketawa.

Berkongsi rasa hati, dia berkata hidupnya amat bahagia dan mereka sekeluarga sentiasa meluangkan masa bersama. Jika tidak berkesempatan bercuti di luar negara, mereka tetap akan `outing' bersama-sama.

Kalau tak dapat pergi bercuti jauh, pada hujung minggu kami akan menginap di hotel di Kuala Lumpur untuk merehatkan badan dan minda. Saya tak kisah Azam bawa pergi ke mana, jauh atau dekat, asalkan saya dapat bersama suami dan anak-anak.

Jika tiada hal penting, saya semakin jarang keluar dengan kawan-kawan, lebih suka duduk di rumah. Saya rasa relaks dan tenang sekarang. Tak pernah rasa bosan walaupun seminit, katanya.

Jelas Rabecca, dia tidak akan berhenti berlakon cuma dia tidak boleh terlalu aktif sekarang.

Orang seni mana boleh tinggalkan bidang itu terus. Apa yang boleh dilakukannya adalah berehat seketika dan sampai masanya dia akan berlakon semula.


Ketika itu dapat watak jadi ibu pun tidak mengapa kerana apa yang penting saya dapat membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Minat itu boleh disambung semula selepas anak-anak semakin besar dan pandai berdikari. Buat apa berkahwin dan beranak jikalau kita tidak mahu berkorban untuk kebahagiaan dan kegembiraan mereka, katanya.

Sambutan hari jadi Rabecca diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur, dihadiri ibu, bapa dan adik-beradiknya serta sahabat baiknya iaitu Faradhiya, Noniswara, Qalesya Ray, Zarina Zainuddin, Kuza dan Silvana Salim.

Sempena ulang tahun kelahirannya itu, Rabecca berharap segala kebahagiaan yang dimilikinya kini akan berkekalan untuk selamanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top