Mendapat pujian dan standing ovation daripada juri tetap, Jennifer Thompson dan Loque, serta juri jemputan, Datuk Siti Nurhaliza, kumpulan Kyoto Protocol sekali lagi membuktikan mereka mampu mengubah lagu tanpa merosakkan keaslian melodi.

Tampil mantap dengan persembahan tersendiri pada minggu Pop Yeh Yeh di pentas Versus di Space U8, Shah Alam, malam Jumaat lalu, Kyoto Protocol membuatkan orang ramai ikut menari bersama ketika kumpulan terbabit menyampaikan lagu Tak Mengapa, dendangan asal Datuk A Rahman Hassan.


Menyuntik kelainan apabila pemain gitar, Gael, bertukar tugas dengan vokalis asalnya, Fuad, mendendangkan lagu itu buat julung kali.

Tidak pernah menyanyikan lagu Melayudihadapanorangramai,Gael yang agak kekok bertutur dalam bahasa kebangsaan menyampaikan lagu itu dengan baik,malah mendapat tepukan cukup gemuruh.

Malah mereka juga turut menjemput beberapa anggota kumpulan Gerhana Ska Cinta untuk mengiringi persembahan pada malam itu. Tambahan muzik saksofon nyata memantapkan lagi persembahan mereka malam itu.

Seorang daripada anggotanya, Hairi, mengatakan mereka melakukan eksperimen sedemikian bagi menyuntik kelainan, seperti yang dikehendaki juri.

Terharu dipuji Siti

Kumpulan yang turut dianggotai Fuad, Shan dan Shaq ini dikatakan sebagai pencabar utama dalam kalangan lima band yang bertarung dalam Versus musim kedua ini.

Dari segi susunan muzik hingga ke corak persembahan, kumpulan ini sering dipuji pesaingnya, Estranged, Oh Chentaku, Manifesto mahupun kumpulan yang lebih lama bertapak dalam industri muzik tanah air, Kristal.

Kyoto Protocol sendiri terharu apabila mendapat maklum balas yang positif daripada kumpulan lain. Namun, mereka yang enggan mudah hanyut dalam pujian menganggap, masingmasing belum cukup pengalaman, berbanding Estranged dan Kristal.

Walaupun dipuji, kami tetap tidak rasa sebegitu. Sebaliknya, kami tetap memandang tinggi kebolehan kumpulan lain. Lihat saja idea yang diketengahkan pada setiap minggu, mereka meletakkan sepenuh semangat pada setiap persembahan yang diberi.

Kami seperti kumpulan lain turut berusaha pada setiap minggu untuk menggubah lagu supaya menjadi lebih menarik, tanpa merosakkan keseluruhan karya terbabit, kata Hairi yang mengaku cukup terharu mendapat pujian daripada Siti, yang dianggapnya antara penyanyi paling disegani di negara ini.

Hasil usaha berkumpulan

Menurut kumpulan ini, cabaran paling besar diterima ketika bersaing pada minggu Generasi Pop. Mana tidaknya, dua lagu perlu disatukan dalam masa lima minit dan keduaduanya mempunyai melodi berbeza.

Begitupun mereka berasa bertuah apabila semua anggota kumpulan memainkan peranan.

Apatah lagi masing-masing mempunyai kemahiran memainkan muzik berlainan dan apabila bergabung, mereka dapat menghasilkan bunyi yang berbeza.

Bukan kami saja, setiap kumpulan dalam Versus ini mempunyai kekuatan. Jika tidak, mana mungkin mereka dijemput menyertai program ini. Kami pula sentiasa mencuba yang terbaik di sini dan kami bergembira dengan setiap apa yang kami lakukan. Kami meletakkan 110 peratus usaha untuk memuaskan hati peminat, kata Hairi.

Giliran Manifesto

Minggu lalu, Kristal juga tidak kurang hangat dengan persembahan lagu La O Be (Kassim Selamat).

Begitu juga dengan Oh Chentaku (Kenanganku Jeffrydin), Manifesto (Suzana M Osman dan Les Fontones) dan Estranged (Siti Haida Jeffrydin).

Sebelum itu, undian untuk Manifesto dan Estranged membolehkan mereka mendahului kumpulan lain, lantas melayakkan keduaduanya bertarung pada peringkat battle.

Jika minggu sebelum itu juri mahu melihat kehebatan pemain bes solo, kali ini kekuatan pemain dram dijadikan taruhan. Menyampaikan lagu Neeruza Ozawa, Manifesto menjadi pilihan juri sekali gus memenangi wang tunai RM10, 000.

Sebelum melabuhkan tirai konsert minggu kelima, peserta diberikan tugasan untuk konsert minggu ini, iaitu lagu Siti. Penyanyi nombor satu negara itu juga sempat mencabar semua kumpulan berkenaan, seterusnya memberikan keizinan bagi mereka `merosakkan' lagunya dengan apa cara sekalipun. ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top