"Saya lebih tenang dan bahagia sekarang, bukan saya sengaja hendak menayang teman lelaki, tetapi adalah lebih baik begini daripada menyorokkannya," kata Tiz Zaqyah, 24, ketika bercerita mengenai keterbukaannya memaparkan gambar bersama 'buah hati' di laman sosial Instagram miliknya.

Bagaimanapun, pelakon Cinta Jangan Pergi ini menegaskan, dia tidak pernah berniat menunjuk-nunjuk teman lelakinya kepada sesiapa.

"Saya rasa apa yang dilakukan adalah perkara normal seperti pasangan bercinta yang lain. Lagipun, bila saya tidak berahsia tentang perkara ini, saya rasa semuanya 'okey' jer.

"Bila orang dah tau, ia memudahkan perjalanan cinta saya, malah peminat juga menyokong dan faham dengan tindakan saya. Ramai yang bagi respons positif bila saya kongsi gambar kami bersama di Instagram," katanya ada juga yang kurang suka dengan perkara ini.

Jelas Tiz, dia sebenarnya tidak pernah menganggap apa yang dilakukan atas dasar seorang selebriti.

"Adakala saya lupa bahawa saya ada peminat, dan apabila gambar dimuat turun, saya tidak fikir tentang perkara lain. Bagi saya masing-masing punya cara sendiri," katanya yang menjalin hubungan cinta bersama pemilik nama Daniel Haziq ini.

Serik berahsia

Berbicara lanjut mengenai cinta barunya, akui aktres yang mempunyai senyuman cantik ini, dia sebenarnya serik apabila terlalu berahsia dan sukar berkongsi tentang percintaannya yang lalu.

"Apa yang berlaku dahulu adalah pengalaman dan saya mengaku memang saya tidak suka berkongsi cerita peribadi sebelum ini, namun saya sedar jika saya jujur serta berterus-terang begini, lebih kurang tekanan yang diterima.

"Lagipun, tiadalah yang sibuk bertanya itu dan ini, sebaliknya, kini mereka lebih gemar mengambil tahu akan perjalanan karier saya pula," katanya pernah popular menerusi drama bersiri Nur Kasih.

Ditanya bagaimana reaksi Daniel mengenai perkara ini, ujar Tiz, kekasihnya agak kekok apabila gambar mereka dipaparkan di Instagram.

"Apapun, dia okey dan dapat menerimanya secara terbuka, pada saya kita ada pilihan, sama ada kita takut dihakimi atau takut jujur. Jadi baik terus terang je," katanya tiada lagi yang hendak mengorek tentang kisah cintanya kini.



Dapat restu keluarga

Hampir 11 tahun berkawan dan tiga bulan menyulam cinta, akui Tiz, dia gembira kerana keluarga Daniel dapat menerimanya dengan baik.

Kata Tiz, dia dan Daniel juga sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing.

"Kami sekadar berjumpa untuk berkenalan lebih rapat sahaja, tiada sebarang persoalan mengenai kahwin wujud dalam pertemuan ini,

"Rasanya jauh lagi hendak bincang hal kahwin, tapi kalau ada jodoh memang saya nak kahwin dengan dia, doakan yang terbaik untuk kami," beritahu Tiz, dia dan Daniel sebenarnya bersekolah menengah bersama.

Berkongsi sikap kekasihnya pula, ujar Tiz, dia terpikat dengan Daniel kerana personalitinya yang sederhana.

"Dia seorang yang sangat pandai mengambil hati saya, selain itu dia sering mengalah dan sentiasa memahami diri saya.

"Lagipun, sikap kelakarnya membuatkan saya yang seperti 'api' ini mudah dikawal, sebab itulah saya selalu menyamakan saya dengan 'api' dan dia pula 'air'," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top