Siti : Video muzik Galau dirakam sebelum berhijab penuh
Mungkin penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza bakal dikritik peminatnya ekoran imejnya dalam video muzik terbarunya, Galau yang tidak bertudung penuh.
Menjelaskan keadaan itu, Siti berharap perkara itu tidak menjadi kontroversi memandangkan rakaman video muzik itu dibuat sebelum dirinya bertudung penuh.
"Saya harap ia tak menjadi kontroversi. Rakaman itu dibuat pada 7 Disember tahun lalu...sebelum saya berhijab penuh.
"Peminat pun tahu bila saya berhijab penuh iaitu pada awal Januari tahun ini. Itu (bertudung separuh) imej saya sebelum ini," katanya pada sidang media Pelancaran Single dan Video Muzik Galau, hari ini.
Mengulas lanjut soal itu, Siti berharap peminatnya faham.
"Ini sekadar lagu dan untuk saya ulang 'shoot', satu kesukaran buat mereka (produksi). Jadi, saya harap peminat faham dengan situasi saya.
"Pihak Universal Music sudah mengeluarkan bajet yang cukup besar untuk video tersebut. Jadi, tak adil kalau Siti tak keluarkan," katanya yang terpaksa menangguhkan pelancaran single sebelum ini ekoran suaminya, Datuk Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K mengalami kemalangan jalan raya.
Tambah Siti, penggambaran dijalankan di Moroccan Pavilion, Taman Botani, Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, Siti bakal mengadakan konsert solonya di Dewan Filharmonik, Julai ini.
Menyentuh soal empayar peniagaannya, SimplySiti, Siti memberitahu produk tersebut bakal menembusi pasaran Timur Tengah, hujung tahun ini.
"SimplySiti akan masuk ke pasaran Timur Tengah dan kami akan pasarkan minyak wangi dahulu memandangkan pasaran minyak wangi besar di sana," katanya.
Selain itu, lagu Lebih Indah nyanyiannya digunakan dalam iklan minyak wangi tersebut yang dibintangi pelakon, Zain Saidin dan Chaca Maembong. ~ SH
0 ulasan:
Catat Ulasan