Saiful Apek dan pekerjanya diarah bela diri
Pelakon dan pelawak terkenal Saiful Apek bersama tiga pekerjanya diperintahkan membela diri terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badannya, tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Abdul Alim dalam penghakiman berkata mahkamah majistret sebelum ini terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman.
Dalam penghakimannya, Abdul Alim berkata beliau cuba melihat kerompongan dalam kes pendakwaan namun semuanya mempunyai penjelasan.
"Ujian air kencing keempat-empat tertuduh juga positif, jadi bagaimana mahkamah boleh katakan bahawa pegawai yang menjalankan ujian air kencing itu berbohong?
"Manusia lakukan kesilapan, dan menghisap dadah pun satu kesilapan. Mahkamah mementingkan keadilan, jadi saya ketepikan semua perintah Majistret dan kesemua responden diperintah membela diri dalam kes ini di Mahkamah Majistret yang sama," katanya.
Turut diperintahkan membela diri Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 29, Shaiful Baharom, 25, dan Noremy Mohamad, 29.
Mereka diperintahkan membela diri di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada 27 Mei ini.
Saiful Apek dan pekerjanya itu didakwa menggunakan ganja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 11 malam, 12 Jun 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.
0 ulasan:
Catat Ulasan